PELAKON Diana Danielle mengakui tidak mudah buat dirinya untuk melalui fasa kemelut rumah tangga dengan suaminya yang juga aktor, Farid Kamil ketika ini.
Walaupun sukar, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 33, itu bagaimanapun akan tetap terus mempertahankan haknya sepanjang proses perceraian yang masih belum berakhir.
“Saya rasa selesa sebab hari ini tak ramai (wartawan). Semestinya pergolakan rumah tangga bukan satu perkara yang mudah dan ingin saya dilalui.
“Namun saya perlu lakukan dan pertahankan perkara yang sepatutnya.
“Saya harap akan dapat keputusan terbaik dan berakhir dengan sesuatu yang aman,” katanya kepada HibGlam selepas sebutan kali kedua tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, hari ini.
Mengenai tuntutan nusyuz terhadap Farid dan pembelaan berhubung tuntutan nusyuz oleh suaminya, pelakon filem Imaginur itu menegaskan perkara tersebut merupakan proses normal yang dilakukan oleh pasangan lain.
“Tuntutan nusyuz ini masih di peringkat awal dan masih belum selesai lagi.
“Ini peringkat biasa yang dilalui oleh semua yang akan melalui proses tuntutan nusyuz ini,” katanya lagi.
Ditanya mengenai tuntutan nusyuz yang difailkan Farid terhadapnya pada 6 April lalu, Diana berpendapat perkara itu boleh dilakukan oleh semua pihak lain.
“Saya terima tuntutan nusyuz itu. Bagi saya, semua pihak boleh memfailkan apa sahaja tuntutan yang mereka mahu.
“Namun semua tuntutan itu perlu dilengkapkan dengan bukti dan fakta. Jadi kita tunggu dan lihat,” katanya lagi.
Ditanya sama ada mengetahui masalah kesihatan yang dialami Farid iaitu jangkitan Covid-19, dia bagaimanapun enggan memberi sebarang respons terperinci mengenai hal tersebut.
“Saya tak mahu beri komen apa-apa tentang pihak sebelah sana. Semoga semuanya sihat-sihat sahaja, insya-Allah,” jelas pelakon filem Imaginur itu.
Hari ini, mahkamah memutuskan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tuntutan nusyuz Farid terhadap Diana. – HIBGLAM