GALAU dan meruntun emosi. Demikian gambaran tepat untuk garapan segar filem terbaharu Indonesia berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta yang bakal disajikan di pawagam seluruh negara bermula 20 Jun ini.
Filem adaptasi novel terlaris karya penulis Nusaibah Azzahra itu mengangkat tema dan unsur Islamik selain sarat pengajaran tentang agama buat cerminan setiap lapisan masyarakat.
Tidak ketinggalan garapan ‘plot twist’ yang segar dijangka menjangkau piawaian kebiasaan filem bergenre serupa.
Mempertaruhkan 90 peratus keaslian daripada kisah sebenar hafizah al-Quran yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia dan perlu berpoligami menjadi kekuatan Perjalanan Pembuktian Cinta.
Kata penerbitnya, Arisakti Prihatwono, karya itu merupakan salah satu dakwah kecil bagi menyuntik kesedaran serta ilmu kepada penonton.
“Hasrat kami menyampaikan dakwah dalam bentuk filem, selain berhibur penonton boleh memanfaatkan sesuatu daripada karya ini. Filem ini mengangkat kisah sebenar yang berlaku dan penulis novel itu merupakan isteri dalam kisah yang digarap rapi itu.
Lebih kurang 90 peratus hampir sama dengan kisah nyata. Kisah asalnya jauh lebih mendalam dan kompleks, kami cuba membentuk karya ini agar lebih mudah difahami penonton.
“Selain mendapat informasi yang berkaitan, ia benar-benar dijadikan satu POV daripada kisah yang berlaku dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan naskhah tersebut kerana alur ceritanya unik dan segar buat genre Islamik romantik.
Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna.
“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi, drama dan juga latar belakang nilai keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.
“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainan filem ini yang menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digarap sempurna sekali gus bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.
Mengenai sambutan di Indonesia pula Rosmarayu berkata, penerimaan penonton di sana luar biasa meskipun ditayangkan pada bulan Ramadan.
Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat.
“Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini.
Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik.
“Namun, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya yang memaparkan banyak mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Iqbal selaku penerbit bersama berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang meruntun hati selain disuntik dengan elemen rohaniah yang membekas buat para penonton.
Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.
“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton memahami lebih dekat mesej-mesej yang terkandung dalam naratif filem ini bagi menempuh kehidupan seharian,” ujarnya.
Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 20 Jun ini
Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh pelbagai dugaan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh bapanya dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.
Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat termasuklah Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana Chand Kelvin, Putri Ayudya, Yayu Unru, Ananta Rispo, Dwazin Nur dan ramai lagi. – HIBGLAM