PELAKON Aqasha mendedahkan kurang berminat membintangi naskhah seram berbanding karya genre lain yang sering dijayakannya sebelum ini.
Menurut Aqasha, pendirian tersebut disebabkan kerana berasakan segelintir pembikin filem hanya sekadar menghasilkan cerita seram tanpa mengalaminya secara peribadi.
“Kata otai pembikin filem, kena buat filem yang dekat dengan diri kau, barulah jujur cerita itu.
“Tapi lambakan filem hantu ini, saya harap tak melambangkan yang ramai pembikin filem ini kenal rapat dengan hantu melainkan dengan sesuatu yang menghantui.
“Bukanlah hantu itu sendiri. Secara peribadi, saya tak minat cerita hantu, menakut-nakutkan orang ini adalah hal terakhir yang saya nak buat,” katanya dalam platform Threads.
Perkongsian tersebut juga menerima beberapa respons daripada netizen yang segelintirnya berpendapat lebih baik terlibat dengan filem seram berbanding naskhah merosakkan akidah seperti pernah dilakukannya menerusi drama sensasi, Walid.
“Tapi lebih baik berlakon dalam filem hantu daripada drama yang menyesatkan akidah.
“Dalam al-Quran juga banyak kali menyatakan tentang makhluk ghaib,” kata seorang individu.
Aktor tersebut bagaimanapun menegaskan bukan hanya tentang makhluk ghaib sebaliknya al-Quran juga terkandung mengenai manusia yang menggunakan agama demi keuntungan diri sendiri.
“Al-Quran juga sembang fasal manusia yang menggunakan Tuhan dan agama untuk kekayaan dan kesenangan hidup. Apa kau fikir kesesatan aqidah itu cerita tipu ke?” balasnya. – HIBGLAM
