Tali putus, Sophia Albarakbah nyaris jatuh masa ‘terbang’

Baru nak seronok jadi ‘Superman’ tiba-tiba ikatan tali terputus. Menakutkan!”

Demikian kongsi pelakon Sophia Albarakbah yang berdepan detik cemas apabila tali yang diikat di kakinya terputus ketika menjayakan babak ‘terbang’ dalam filem Saka Perawan.

Begitupun, katanya pengalaman ‘rigging’ iaitu digantung atau disangkut dalam filem tersebut serta menggalas watak hantu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Pertama kali disangkut, pada mulanya  agak takut tetapi masa diterbangkan saya rasa seronok pula.

Ada satu babak saya kena terbang macam ‘Superman’ yang mana saya kena ikat di belakang dan kedua-dua belah kaki. Tinggi juga saya diterbangkan, tiba-tiba ikatan itu terputus.

“Mereka cepat-cepat turunkan saya dan nasib baik memang disediakan tilam di bawah. Itu memang pengalaman yang sangat menakutkan,” katanya kepada HibGlam usai tayangan perdana filem Saka Perawan, baru-baru ini.

Ditanya mengenai pengalaman menjayakan filem komedi, pelakon Ku Akad Kau Dengan Bismillah memaklumkan sangat senang terlibat dalam naskhah terbabit memandangkan ramai pelakon otai yang sememangnya pelawak.

Tak susah pun berlakon dalam filem Saka Perawan sebab kena bawa watak kelakar. Selalunya karakter serius yang perlu menangis sahaja.

“Memang pengalaman berbeza. Pelakon semua pun memang pelawak. Jadi, tak susah untuk rasa terhibur di set penggambaran,” ujarnya.

Tambahnya lagi, filem arahan Dr. Ahmad Idham itu memberi peluang dirinya menjadi hantu walaupun dalam versi comel yang tidak menakutkan.

Saka Perawan juga bagi saya pengalaman baharu dimana saya perlu menjadi hantu tetapi dalam versi kelakar.

“Ahmad Idham mahu saya jadi puntianak yang tidak menakutkan. Memang sangat menyeronokkan,” kongsinya lagi.

Selain Sophia, pelakon lain yang menjayakan filem terbitan Grand Brilliance Studio itu terdiri daripada Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Hajah Fauziah Nawi, Isyariana, Nelissa Nizam, Afieq Shazwan, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.

Filem Saka Perawan akan menemui penonton bermula 27 Jun ini di seluruh Malaysia dan bakal ditayangkan serentak di Brunei. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok