Hanya Rosyam Nor mampu jadi Cikgu Sunan – Kyoll Hamzah

PENGARAH Kyoll Hamzah bersyukur apabila filem sulung arahannya, Memoir Seorang Guru berjaya menyentuh hati penonton.

Filem adaptasi dari novel Allahyarham Azizi Haji Abdullah itu bukan sahaja mengangkat karier seorang guru tetapi juga mengimbas kenangan zaman persekolahan dahulu.

“Sejujurnya saya bimbang juga dalam lambakan filem komersial, Memoir Seorang Guru genrenya agak berat.

Tetapi melihat penonton menangis dan berterima kasih kerana membawa mereka kembali ke zaman persekolahan membuatkan saya gembira. Ini bermakna cerita ini dekat dengan hati penonton,” kata Kyoll.

Tambah Kyoll atau nama sebenarnya, Hairul Hamzah, 47, filem Memoir Seorang Guru cukup istimewa baginya kerana membuka jalan ke dunia perfileman selepas 15 tahun bergelar pengarah drama.

Meskipun Kyoll popular sebagai pengarah drama genre romantik komedi, hakikatnya dia lebih meminati naskhah genre berat.

Jika saya tolak rasa rugi besar kerana bukan mudah untuk peluang seperti ini datang. Apatah lagi Memoir Seorang Guru sebuah naskhah yang cukup bagus.

“Sejujurnya genre berat seperti ini adalah minat saya, cuma dalam drama saya jarang dapat peluang untuk mengarah naskhah seperti ini.

“Diharap filem Memoir Seorang Guru akan membuka sisi baharu saya pada mata penonton dan juga penerbit,” ujar Kyoll yang sebelum ini popular dengan drama Ajari Playboy Itu, Dian dan Dear Cinta.

Selain itu, Kyoll menyifatkan pemilihan Datuk Rosyam Nor sebagai pelakon utama adalah tepat.

Saya baca novel ini sebanyak tiga kali dan sebelum skrip siap pun saya sudah terbayang hanya Rosyam Nor sahaja yang mampu bawa watak Cikgu Sunan dengan baik.

“Walaupun filem ini ditayangkan serentak dengan filem komersial lain, saya yakin genre yang bermain dengan emosi penonton ada peminatnya,” tutur Kyoll yang kini sibuk dengan pembikinan drama Bias Cahaya.

Dalam pada itu, Kyoll turut gembira apabila acara meet & greet bersama barisan pelakon yang dianjurkannya di TGV AEON AU2 Setiwangsa, Kuala Lumpur baru- baru ini mendapat sambutan hangat.

Disebabkan Memoir Seorang Guru adalah filem pertama saya, saya mengambil inisiatif menganjurkan sendiri sesi ‘meet & greet’ bersama barisan pelakon.

“Tidak sangka daripada borak kosong acara ini menjadi kenyataan dan dewan penuh dengan penonton yang hadir memberi sokongan,” katanya lagi.

Karya Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang guru dari bandar (Cikgu Sunan) ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman dan ditugaskan menjadi guru di kelas tercorot.

Selain Rosyam Nor, Memoir Seorang Guru yang telah ditayangkan di pawagam sejak 30 Mei lalu turut dibintangi Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Trisha Ooi dan Hariz Hamdan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok