PEMAIN bola sepak bercinta dan berkahwin dengan selebriti bagaikan sudah lama menjadi satu trend di mana sahaja. Bintang Korea Selatan tidak terkecuali menjalin cinta dan berjodohan dengan pemain bola.
Daripada beraksi lincah di padang terus tertambat membawa ke hati si artis. Meskipun berbeza lapangan, tiada yang mustahil apabila cinta mula bersemi.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang sedang hangat bercinta dan berkahwin dengan pemain bola sepak.
Soyeon dan Cho Yu-min
Percintaan anggota kumpulan T-Ara, Soyeon dengan pemain bola sepak, Cho Yu-min dihidu peminatnya setelah dilihat beberapa kali meluangkan masa bersama di luar negara.
Tidak mengiyakan mahupun menidakkan, pasangan itu hanya membisu tanpa memberi apa-apa kenyataan.
Namun pada Januari 2022, peminat dikejutkan dengan berita daripada agensi T-Ara yang mengumumkan Soyeon dan Yu-min akan melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun sama.
Pun begitu, majlis tersebut terpaksa ditunda setahun kemudian kerana Yu-min telah terpilih sebagai pemain pasukan bola sepak nasional Korea Selatan untuk bertanding Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Sekembalinya Yu-min daripada pertandingan tersebut, mereka segera berkahwin dan sah menjadi pasangan suami isteri.
Menariknya, hubungan si cantik dan si tampan itu direstui peminat dan selalu mendapat sokongan daripada penggemar masing-masing sejak awal menjalin cinta.
Han Hye-jin dan Ki Sung-yueng
Meledak dalam media sosial sekitar 2013 apabila aktres Han Hye-jin mengumumkan telah rasmi menikah dengan ketua pasukan bola sepak Korea Selatan untuk Piala Dunia 2018, Ki Sung-yueng.
Perkahwinan mereka sekali gus menoktahkan spekulasi yang mendakwa pelakon berusia 42 tahun itu sedang hangat menjalin cinta dengan seorang aktor popular ketika itu.
Menurut sebuah laporan media Korea Selatan, pasangan sama cantik sama padan itu pertama kali bertemu dalam sebuah pertandingan sepak bola di Vietnam.
Kata Sung-yueng, Hye-jin satu-satunya perempuan yang berhasil membuat jantungnya berdegup kencang dan sudah jatuh hati sejak awal pertemuan terjadi.
Meskipun berjarak umur lapan tahun, mereka berhasil membina rumah tangga yang sangat harmoni dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Kim Min-ji dan Park Ji-sung
Kim Min-ji juga ada dalam senarai Kimchi Panas minggu ini. Kisah percintaannya dengan pemain bola sepak bertaraf dunia, Park Ji-sung sememangnya menjadi perbualan ramai sekitar 10 tahun lalu.
Berawal sekadar suka-suka menerusi satu pertemuan ‘blind date’, aktres jelita itu tidak menyangka hatinya bakal ditawan pemain bola sepak itu seawal kali pertama berjumpa.
Lebih menariknya, Ji-sung juga menyimpan perasaan sama dan mendedahkan sudah lama melihat Min-ji dalam media sosial, namun malu untuk meluahkan rasa di dada.
Tidak menunggu lama, mereka seterusnya mengikat janji suci sekitar tahun 2014. Hasil perkahwinan, merpati dua sejoli itu dikurniakan dua orang anak.
Lee Ye-rim dan Kim-Young chan
Aktres Lee Ye-rim dan pemain bola sepak Kim Young-chan mula menjalin hubungan sejak tahun 2017 selepas masing-masing meluahkan rasa cinta antara satu sama lain.
Setelah empat tahun berpacaran, mereka akhirnya memutuskan untuk menikah pada hujung tahun 2021 lalu.
Pun begitu, pernikahan pasangan serasi itu terpaksa dilaksanakan secara tertutup mengikut arahan kerajaan kerana ketika itu dunia sedang dilanda Covid-19.
Majlis tersebut hanya dihadiri keluarga terdekat, kenalan rapat dan beberapa rakan artis sahaja.