PELAKON Farid Kamil menyifatkan pemergian Allahyarham Pyanhabib sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari, itu berkata, hubungannya dengan Allahyarham mula akrab apabila mereka sama-sama membintangi filem Apokalips X pada 2014.
Allahyarham seorang yang periang dan merendah diri. Sifatnya yang ceria membuatkan orang sekeliling berasa senang dan selesa.
“Kami mula kenal ketika terlibat dalam filem Apokalips X. Saya bawa watak X dan dia pula Pendeta X,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Farid, kali terakhir dia bertemu dengan figura yang cukup diseganinya itu kira-kira tiga tahun lalu.
Saya ada bertemu beliau tiga tahun lalu. Macam biasa setiap kali berjumpa, arwah suka beri buku hasil penulisannya.
“Kadangkala pertemuan itu ringkas saja tetapi memberi kenangan yang cukup bermakna buat saya,” katanya.
Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd. Supyan Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat, pukul 9.30 malam, semalam.
Allahyarham meninggal dunia seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-66.
Antara naskhah pernah dibintangi Pyanhabib adalah One Cent Thief, Tak Kisahlah Beb, Rock Oo! dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.
Jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid As-Sobirin di Lembah Keramat, Ampang pada pukul 10 pagi tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat. – HIBGLAM