SUDAH namanya manusia, memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Begitu juga deretan selebriti Korea Selatan yang terlibat dengan skandal memalukan.
Ada yang pandai makan pandai simpan namun ramai juga terpaksa menanggung natijah perbuatan mereka apabila rahsia terbongkar sehingga memberi kesan besar terhadap kerjaya dibina.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti popular yang dikecam teruk dek sikap jelik mereka.
Kim Ga-ram
Penyanyi Kim Ga-ram merupakan bekas anggota kumpulan LE SSERAFIM yang sering menjadi tumpuan masyarakat dan peminat.
Bukan kerana prestasi mahupun pencapaiannya tetapi Kim Ga-ram menjadi bualan ramai berikutan skandal buli yang menyebabkan seorang pelajar cuba untuk membunuh diri.
Lebih menguatkan dakwaan skandal tersebut, terdapat laporan mendedahkan dia menjalani hukuman disiplin atas perilaku buruknya di sekolah.
Pun begitu, agensinya ketika itu menepis sebahagian besar tuduhan tersebut.
Enggan namanya terus hangat diperkatakan, idola berusia 19 tahun itu nekad menarik diri daripada kumpulan tersebut beberapa minggu selepas album debut, Fearless dilancarkan.
Kim Sae-ron
Nama Kim Sae-Ron dalam dunia hiburan Korea Selatan sudah tidak asing lagi. Dia merupakan salah seorang pelakon muda yang masih didambakan setiap sutradara.
Namun semuanya berubah apabila aktres berusia 24 tahun itu terlibat dalam kes memandu di bawah pengaruh alkohol pada 18 Mei 2022.
Setelah siasatan dilakukan pihak polis, gadis jelita itu disahkan memandu dalam keaaan mabuk sehingga melanggar tembok dan menyebabkan kerugian kepada pemilik perniagaan di sekitar kawasan Gangnam.
Dia terpaksa menanggung segala kerugian tersebut dan lebih teruk telah hilang projek lakonan, lesen memandu ditarik selain perlu membayar ganti rugi setiap tiang elektrik yang dilanggarnya.
Kini, wajahnya jarang dilihat membintangi apa jua naskhah mahupun iklan.
Nam Joo-hyuk
NAM JOO-HYUK juga terpalit kontroversi pada 2022 apabila didakwa pernah menjadi pembuli dan ada masalah disiplin ketika bergelar pelajar.
Meski tuduhan tersebut disangkal pihak agensi aktor terbabit, muncul mangsa mengakui masih trauma kerana dibuli jejaka berusia 30 tahun itu sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatris.
Keadaan bertambah teruk apabila seorang demi seorang mangsa tampil mendedahkan perbuatan buruk aktor itu.
Susulan itu, Joo-hyuk dikecam teruk sehingga ramai memilih untuk memboikotnya daripada muncul dalam mana-mana drama mahupun program televisyen.
Song Ji-a
Song Ji-a merupakan seorang pempengaruh terkenal dan juga peserta program Netflix Single’s Inferno yang sering kali viral kerana kecantikan serta kontroversinya.
Dalam pada meraih populariti, dia terpaksa menelan kata nista netizen apabila ‘kantoi’ memakai baju jenama Chanel tiruan dalam program tersebut.
Meskipun pada awalnya berdolak-dalih, gadis berusia 24 tahun itu akhirnya mengaku baju Chanel yang dipakainya itu adalah barangan tiruan selepas dikecam bertalu-talu.
Walaupun sudah menulis surat permohonan maaf, pandangan khalayak terhadap pemilik saluran YouTube Free Zia itu mulai berubah kendatipun isu tersebut remeh.
Lebih teruk, popularnya kian pudar dan kurang diminati selepas insiden tersebut.