4 selebriti K-pop ‘dibenci’ jiran tetangga

BUKAN mudah hidup bermasyarakat, jika tiada toleransi pasti akan timbul konflik dan rasa tidak puas hati apatah lagi sesama jiran tetangga.

Persengketaan jiran tetangga bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang biasa, golongan selebriti terkenal juga tidak dapat lari daripada terpalit situasi serupa. 

Kemelut itu biasanya tercetus apabila selebriti rasa terganggu dengan sikap jiran atau artis itu sendiri yang menjadi punca ketidakselesaan jiran tetangga.   

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa bintang terkenal Korea Selatan yang ada masalah dengan jiran. 

Hyolyn

Hyolyn juga tidak terlepas daripada senarai Kimchi Panas minggu ini. Penyanyi jelita itu bermasam muka dengan jirannya pada 2018.  

Menurut sebuah laporan, wanita berusia 34 tahun itu sering mengadakan parti di kediamannya sehingga mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

Menurut seorang pekerja kedai berdekatan kediaman itu, Hyolyn sering berparti lewat malam dengan rakan-rakan sama agensi dengannya dan memasang muzik terlalu kuat yang menjadi punca jiran kurang senang dengan sikapnya.  

Tidak tahan berdepan protes, Hyolyn menjual kediaman yang baru setahun dibeli itu dan mencari kediaman baharu yang jauh daripada orang ramai. 

Sung Si-kyung

Penyanyi Sung Si-kyung juga terpalit kemelut serupa. Sebelum ini, beberapa individu mengeluh dalam media sosial mengenai seorang artis yang suka membuat bising sehingga mengganggu tidur jiran tetangga. 

Kendatipun pengurus artis tersebut pernah membuat permohonan maaf malah turut membawakan buah tangan kepada jiran yang terganggu, kejadian sama tetap berulang lagi sehingga mereka hampir membuat laporan polis.

Setelah disiasat netizen, akhirnya terbongkar juga identiti artis yang dimaksudkan iaitu  Sung Si-kyung.

Setelah isu itu meledak, penyanyi berusia 45 tahun terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka dalam Instagram. Dia juga mengaku banyak  menghabiskan masa dengan mendengar muzik pada lewat malam dengan anggota kugirannya.

Song Joong-ki

Pada 2021, beberapa jiran Song Joong-ki memprotes pembinaan semula kediamannya yang disifatkan mengganggu ketenteraman jiran. 

Proses pembinaan itu telah mengubah permukaan jalan menjadi lebih tinggi sekitar 30 hingga 50 sentimeter sekali gus menyebabkan beberapa kemalangan kenderaan.

Menurut dakwaan seorang jiran, aktor berusia 39 tahun itu meninggikan jalan di hadapan kediamannya agar terhubung terus dengan laluan masuk ke tempat parkir.

Perubahan itu membuatkan jalan menjadi lebih sempit dan curam sehingga menyukarkan kenderaan yang lalu lalang.

Natijahnya, Pejabat Daerah Yongsan mengarahkan pelakon Descendants of the Sun itu mengembalikan jalan tersebut dalam keadaan asal.

Menghormati arahan itu, Joong-ki bersetuju sebahagian tanah yang dibelinya itu digunakan sebagai laluan awam seperti dahulu.

Kim Kyung-nam

Bising dan tidak bertimbang rasa, demikian luahan seorang individu dalam media sosial sekitar 2021 yang tertekan berjiran dengan seorang artis.

Dedahnya, selebriti tersebut sering membawa pulang rakan-rakan dan berhibur sehingga lewat pagi. Lebih teruk, perkara itu berlaku dua atau tiga kali seminggu. 

Hasil siasatan mendapati artis yang dimaksudkan adalah pelakon Kim Kyung-nam dan disahkan agensinya beberapa hari kemudian selepas teruk dihentam netizen. 

Sedar kesilapannya, jejaka berusia 34 tahun itu telah mengunjungi jiran tetangganya untuk memohon maaf dan berjanji akan berubah serta bersikap lebih peka. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok