DALAM tempoh beberapa tahun terakhir ini, dunia hiburan Korea Selatan rancak menyaksikan kehadiran ramai pemain baharu industri.
Ada juga antara mereka yang berjaya mencipta nama hingga ke peringkat global sekali gus meletakkan diri setanding penghibur Barat.
Bagaimanapun, sama seperti negara lain penggiat seni negara kimchi itu juga tidak terlepas terpalit skandal dan kontroversi. Lebih parah, mereka tidak mendapat ‘kemaafan’ peminat.
Akibatnya, mereka terpaksa menoktahkan kembara seni meski ada antaranya berada di puncak populariti.
Daebak kali ini membawakan nama-nama besar yang terpaksa bersara awal akibat skandal.
Jimin
BEKAS kumpulan AOA, Jimin berdepan kecaman teruk khalayak apabila heboh isu buli melibatkan seorang lagi anggota AOA, Mina semasa berada bawah agensi sama, FNC Entertainment.
Mina mendedahkan dirinya didera secara mental oleh Jimin atau nama lengkapnya Shin Ji-min semasa mereka dalam kumpulan AOA.
Selepas pendedahan berkenaan, imej Jimin semakin merosot dan dia mengumumkan persaraan daripada industri hiburan.
“Pertama sekali, kami ingin memohon maaf atas artis pengurusan kami iaitu Jimin dan kontroversi yang melibatkannya.
“Jimin memutuskan untuk berhenti dari AOA dan bersara dari industri hiburan. Kami sebagai agensi bertanggungjawab terhadap keadaan tersebut.
“Kami akan bekerja lebih keras untuk menyediakan pengurusan yang baik untuk artis kami. Sekali lagi, kami mohon maaf kerana buat peminat bimbang,” ujar pihak FNC Entertainment.
Seungri
PADA 2019, media Korea melaporkan penyanyi Seungri terlibat dalam pelaburan haram di kelab malam Burning Sun dan Club ARENA yang mencetuskan kontroversi.
Pemilik nama lengkap Lee Seung-hyun itu juga dilaporkan berkongsi rakaman video kamera tersembunyi haram dengan selebriti lelaki lain di dalam sebuah laman online.
Selepas aktivitinya terbongkar, imej Seungri merosot dan tidak lama kemudian harus melupakan penglibatanya dalam sebarang aktiviti seni. Seungri mengakui segala onar yang dibikin dan berterima kasih atas sokongan selama 10 tahun berada di dalam industri selain memohon maaf atas perbuatannya.
Jang Mi In-ae
PELAKON Jang Mi In-ae berdepan kejatuhan reputasi apabila tidak bersetuju dengan dasar Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk memberikan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Ini sangat menjengkelkan! Korea tidak mempunyai wang sebanyak itu. Anda memberikan tanah kami kepada orang lain juga, bukan?
“Adakah anda benar-benar kerajaan yang menyelamatkan rakyat? Apakah nilai 1 juta won (RM3,500). Setiap kali tengok berita itu, saya jadi marah,” katanya dalam sebuah hantaran media sosial.
Demikiam komen jengkel pelakon filem 90 Minutes itu yang tidak disokong orang ramai dan dikritik dengan teruk.
Tanpa menarik balik kenyataannya, Mi In-ae bagaimanapun mengumumkan persaraannya dari dunia lakonan tidak lama kemudian.
“Saya tidak faham mengapa orang Korea tiba-tiba mengalami kesukaran dan mereka (kerajaan) memberi rakyat sokongan daripada wang pembayar cukai sedang tidak membawa perubahan.
“Selepas ini, cukai akan naik dan saya tidak dapat menyimpan kekecewaan sendiri, itulah sebabnya saya melepaskan geram,” ujarnya dalam satu kenyataan saat menoktahkan karier seni.
Choi Jong-hoon
PADA 2019, perbuatan penyanyi Choi Jong-hoon merakam dan mengambil gambar beberapa wanita secara sembunyi terbongkar.
Lebih teruk, penyanyi berusia 30 tahun itu juga berkongsi video dan gambar tersebut dalam sebuah laman sembang online yang turut disertai selebriti lain.
Bukan itu sahaja, seorang wanita tampil mendakwa dirogol Jang-hoon secara beramai-ramai termasuk oleh Jong-joon selepas sama-sama mabuk dan berkongsi rakaman tersebut dalam sebuah laman online.
Selepas semuanya terbongkar, Jong-hoon terpaksa bersara dari industri hiburan dan keluar daripada kumpulan F.T Island.
Dia juga dibicarakan dan didakwa atas tuduhan mengambil bahagian dalam perbuatan rogol beramai-ramai. Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada November 2019. Namun, Mahkamah Tinggi Seoul mengurangkan hukuman daripada lima kepada dua tahun setengah selepas persetujuan mangsa. – HIBGLAM