VIDEO mengusik Ruhainies sebagai penyondol dalam program Famili Duo 3 kembali tular, pelakon Janna Nick menegaskan perkara itu hanyalah sekadar gurauan, bukan bermakna dia boleh meramal masa depan.
Ujar Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 29, tiada niat langsung menyindir mahupun sengaja memberi bayangan berkenaan kontroversi membabitkan rakan seperjuangannya itu dengan pelakon Aliff Aziz.
Itu video lama, tiada niat untuk menyindir . Saya pun tak tahu mengapa rakaman itu tular kembali.
“Sebenarnya video tersebut hanyalah gurauan berkaitan isu semasa dan ketika itu sedang tular kontroversi penyondol.
Saya dengan Ruhainies pada ketika itu sudah berdamai, tiada pergaduhan dan sebagainya, jadi kenapa saya nak menyindir hal tidak baik. Ketika itu dia pun tahu gurauan dan faham,” katanya kepada HibGlam
Percaya terhadap kifarah, pelakon Jemputan Ke Neraka itu enggan menjadikan ujian seseorang sebagai bahan jenaka untuk menghiburkan orang ramai.
Sebaliknya, dia sangat bersimpati dengan nasib mereka yang terlibat dalam isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini apatah lagi mengheret ramai selebriti.
“Mungkin benda itu kena pula dengan situasi sekarang, jadi orang keluarkan balik.
Jangan palitkan saya dengan isu ini sebab saya turut simpati dengan semua pihak.
“Saya anggap ini ujian untuk mereka dan dugaan orang kita tak nak jadikan bahan jenaka sebab kita takut berbalik kepada kita,” tegasnya ketika ditemui di majlis Raikan Raya bersama Warner, semalam.
Selepas isu Ruhainies berselingkuh denganAliff meledak dalam media sosial, video lama Janna mengusik aktres terbabit dengan memanggilnya penyondol ketika mengacarakan sebuah program kembali tular.
Ketika itu, Janna mengusik Ruhainies yang datang ke program realiti berkenaan selaku duta kepada penaja rancangan.
Dalam ruangan komen hantaran tular itu, ramai mendakwa isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu sudah mengetahui rahsia disimpan pihak tertentu sekali gus memberi bayangan ketika program realiti itu awal tahun ini. – HIBGLAM