Demi konsert, Ziana Zain sanggup berpeluh di gimnasium

MAHU memberikan persembahan terbaik, penyanyi Ziana Zain aktif bersenam di gimnasium bagi meningkatkan stamina sempena Ziana Zain Konsert 2024 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Mei depan.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 56, bagaimanapun berkata, rutin senaman yang dilakukan sesuai dengan usianya dan tidak terlalu ekstem.

Bagi meningkatkan stamina, pembantu peribadi menyarankan saya kerap bersenam. Kaedah ini juga dapat kekalkan  postur badan.

“Pada usia sekarang, saya lakukan aktiviti tersebut secara berperingkat.

“Contohnya berat alatan yang saya guna untuk senaman akan bermula dengan dua kilogram (kg), kemudian tiga kg dan akhirnya 7kg,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Acara Autograph Session baru-baru ini.

Berkongsi lanjut perihal konsert, pelantun Madah Berhelah itu bakal mengalunkan 20 lagu.

“Saya akan dendangkan 20 buah lagu penuh, bukan secara medley sebab nak peminat rasa puas.

Pada malam itu tiada gimik dan konsep persembahan adalah berkaitan perjalanan hidup serta kerjaya seni saya selama tiga dekad.

“Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar dan saya mahu memastikan peminat  dapat memori manis pada malam tersebut,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok