Bapa tiada dalam kamus Syawal anak – Rita Rudaini

TANPA kehadiran susuk bernama suami mahupun ayah, lebaran buat wanita jelita bersama dua heronya itu tetap meriah dan penuh bermakna.

Tiada hadiah yang lebih membahagiakan pelakon Rita Rudaini selain melihat kegembiraan dua permata hati meraikan Syawal bersama keluarga besarnya di Perlis.

Tahun ini juga, Rita sebenarnya memenuhi permintaan Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, yang merindukan suasana berhari raya di kampung.

Lebih memaknakan, tahun lalu Aidilfitri hanya disambut di Kuala Lumpur memandangkan kesemua adik-beradik, anak saudara dan sepupu dekatnya ‘turun’ beraya di ibu negara.

“Tahun ini saya balik ke Kangar atas permintaan anak-anak memandangkan tahun lalu kami beraya di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, setiap tahun, saya dan bersama sepupu lain akan berbincang destinasi menyambut Syawal sama ada di Kuala Lumpur, Perak atau semua balik ke Perlis.

“Tetapi kali ini anak-anak mahu beraya dengan sepupu mereka di kampung, jadi saya penuhi permintaan mereka,” katanya kepada HibGlam.

RITA bahagia dapat memenuhi permintaan anak-anak untuk bertemu sepupu-sepupu dan menyambut Syawal dalam suasana kampung di Kangar, Perlis tahun ini.

Paling dinantikan mereka sekeluarga tentu saja saat kesemua adik-beradik serta anak saudara tiba di kampung tanah tumpah darah.

Suasana gamat dengan semua orang mahu berkongsi cerita menjadikan setiap detik berada di sisi insan tersayang sarat 1001 makna.

Tambahan pula ada antara mereka jarang berjumpa disebabkan ada yang tinggal berjauhan, jadi hari raya adalah masa merapatkan ukhwah.

Begitupun, kata pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar, 48, itu lagi, kedua-dua puteranya tidak pernah berasa terasing walaupun tidak bersalaman dengan lelaki yang dipanggil bapa.

“Sebenarnya mereka okey saja, mereka tak rasa apa-apa pun kalau melihat orang lain bersalaman dengan ayah mereka di pagi raya. 

“Saya sendiri pernah tanya pada Rayyan ingat lagi tak sambut raya dengan bapanya waktu usia dua tahun, tapi dia tak ingat. Kiranya tiada memori beraya dengan bapa.

“Bagi anak-anak, keluarga mereka adalah saya, mak tok  (nenek) mereka, abang dan adik saya serta sepupu-sepupu mereka,” ujar bintang filem Mami Jarum itu.

TERHARU masih mendapat kepercayaan pemilik jenama fesyen, tahun ini Rita tidak keseorangan sebaliknya berganding bersama anak-anak untuk kempen koleksi raya Hazel Hisham.

Tanpa kelibat bapa pun, paling utama,  mereka menikmati momen membesar dengan gembira.

“Saya tak pernah nampak mereka bersedih, bagi mereka dapat balik beraya dengan saudara-mara di Perlis pun sudah cukup menyeronokkan.

“Dapat buat aktiviti beramai-ramai macam ronda kampung juga merupakan perkara kecil yang besar maknanya buat anak-anak.

“Tidak pernah terasa langsung biarpun hanya bertiga sahaja, kami sudah lengkap, ditambah sistem sokongan sedia ada di sekeliling kami,” kongsinya.

Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok