‘Tak jantan pakai samping ‘instant’? Saya hanya mahu memudahkan lelaki’

PELAKON Datuk Aaron Aziz menegaskan pemakaian samping instant (segera) merupakan idea yang bagus dan sebuah inovasi persalinan raya bagi memudahkan kaum lelaki pada hari lebaran.

Menurutnya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sepanjang lima tahun menjual samping raya instant di Singapura dan disebabkan itu dia mula meluaskan pasaran ke Malaysia tahun ini.

“Saya sudah pasarkan samping instant sejak lima tahun lalu dan sambutan yang diterima memang sangat bagus.

Idea rekaan ini sebenarnya adalah untuk memudahkan kaum lelaki. Berdasarkan pengalaman sendiri, jika pakai samping biasa, baru beraya tiga buah rumah sudah tidak selesa.

“Kedudukan dan jenis material pun selalunya mudah senget serta renyuk apatah lagi kalau kita bawa motor atau menaiki kereta,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dia bagaimanapun mengakui tidak menyedari wujud perdebatan netizen dalam media sosial yang berpendapat lelaki dewasa dilabel tidak cukup jantan jika memakai samping instant.

“Saya terima setiap pandangan. Jika ada yang berpendapat memakai samping instant membuatkan anda tidak cukup jantan, itu pendapat masing-masing.

Perkara seperti ini saya ibaratkan seperti lauk. Tidak semua suka makan nasi lemak dan nasi ayam. Jadi, biarkan sahaja,” ujarnya yang menyambut raya di Singapura.

Terdahulu, wujud perdebatan dalam media sosial yang berpendapat samping instant ‘melanggar’ hukum cara pemakaian samping sebenar yang sudah dipakai sejak zaman berzaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok