PENYANYI Mark Adam berkongsi khabar duka kehilangan bapa mentua yang menghembuskan nafas terakhir malam semalam.
Mark atau Fikry Mark Adam Abdullah, 47, berkata Allahyarham Redzuan Abdul Malik meninggal dunia selepas waktu berbuka puasa.
“Sedekahkan al-Fatihah untuk bapa mentua saya Redzuan Abdul Malik yang telah pergi mengadap Ilahi selepas berbuka,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram, malam tadi.
Begitupun, penyanyi Sampai Nanti itu tidak berkongsi mengenai punca pemergian Allahyarham, selain hanya berkongsi video arwah ketika masih sihat.
Difahamkan Mark dan isterinya, Norazah Redzuan, atau Ezan tiada di Kuala Lumpur ketika pemergian Allahyarham kerana menyertai festival jualan raya di Singapura.
Namun mereka dapat bersama-sama ahli keluarga lain menyempurnakan urusan mandi dan solat jenazah disusuli pengebumian sekitar pukul 9 pagi tadi.
Sebelum ini Mark kerap berkongsi kisah mengenai keluarga isterinya terutama bapa mentua dalam laman sosial.
Paling diingati ramai adalah detik pertemuan pertama dengan insan dihormatinya itu pada tahun 2002 yang sarat momen melucukan.
Penyanyi mualaf asal Filipina itu juga pernah mendedahkan bapa mentuanya adalah individu yang menerima kehadirannya pada ketika dia tidak punya apa-apa waktu itu. – HIBGLAM