Tak jadi kahwin, saya okey – Mimi Lana

TERLIHAT selamba, gembira dan sudah ‘move on’ daripada episod paling gelap apabila perkahwinan bersama aktor Syafiq Kyle dibatalkan seminggu sebelum acara berlangsung, aktres Mimi Lana mengakui hatinya belum pulih sepenuhnya.

Sebagai manusia biasa, Mimi cukup sedar, siapakah dirinya untuk menolak takdir yang sudah tertulis.

Meskipun rasa ‘sakit’ masih ada,  Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin, 29, memilih untuk berdamai dengan takdir.

Sebagai wanita sudah tentu saya cuba yang sehabis baik dan tipulah kalau saya kata saya tidak sedih. 

“Semua orang yang melalui perkara sama seperti saya sudah tentu rasa sedih dan kecewa. 

“Tetapi saya bersyukur Allah hadirkan pelbagai perasaan mungkin untuk saya menjadi lebih kuat dan matang mendepani situasi masa depan,” kata Mimi.

Dilihat memilih bersikap profesional apabila masih menjalin hubungan baik dengan Syafiq, kata Mimi, dia enggan terlalu mengikut emosi.

Bahkan, ramai yang terkejut apabila Mimi dilihat bekerjasama dalam banyak projek bersama Syafiq seperti kempen raya dan filem The Experts.

“Saya ada banyak projek dengan Syafiq selepas ini, suka atau tidak saya perlu bersikap profesional sebab industri kita kecil sahaja. Hal peribadi harus diketepikan ketika saya bekerja,” ujar Mimi.

Ditebak apakah nasihatnya kepada orang luar yang mungkin sedang menghadapi situasi serupa, bintang filem Pusaka itu memilih untuk lebih sayangkan diri sendiri.

“Selalulah pilih diri sendiri dalam apa jua situasi. Percaya dengan diri sendiri dan kata hati serta selalu ikhlaskan niat.

“Apa-apa pun, cuba yang terbaik untuk diri sendiri selagi kita tahu perkara itu tidak memudaratkan diri. Perkahwinan jadi atau tidak, saya okey. 

“Kita perlu ‘move on’ sekurang-kurangnya kita sudah mencuba yang sehabis baik,” kongsi Mimi yang ditemui di lokasi penggambaran drama First Wives di Putrajaya baru-baru ini.

Berbicara tentang First Wives, karya yang turut dibintangi Malek McCrone, Melissa Chambell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh tersebut buat pertama kali menampilkan Mimi memegang watak utama dalam drama komedi. 

Gementar pada permulaannya, namun Mimi akui sudah mula selesa ditambah dengan pasukan produksi yang sentiasa membantunya.

“Mungkin saya sudah terbiasa membawa watak yang berat dalam genre serius dan saya sendiri rasa diri tidak kelakar, jadi saya takut.

“Dalam hati mampukah saya membawa watak untuk genre komedi? Alhamdulillah, saya sudah mula ada keyakinan dan rasa seronok membawakan watak komedi.

“Selepas ini, saya akan terbuka untuk menerima naskhah komedi sebab tidak berat dan tertekan ketika berlakon,” kata Mimi tentang drama terbitan Astro Shaw itu.

Finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu yakin keterbukaan mencuba pelbagai watak yang berbeza satu asas yang baik ke arah menjadi aktres versatil.

Selepas sedekad bergelar anak seni, akui Mimi pekerjaan sebagai pelakon bukan mudah. Semakin hari, watak yang dibawanya semakin mencabar dan sukar.

Biasanya kalau kita sudah kerja lama pasti akan rasa senang, tetapi tidak untuk saya. Lagi lama saya berlakon, lagi susah watak yang saya bawa.

“Sekarang saya lebih banyak berfikir dan mungkin ilmu lakonan pun sudah bertambah jadi banyak watak yang ingin dicuba. 

“Tiada watak yang mudah kerana semua ada cabaran yang tersendiri,” ujar Mimi yang menyimpan impian berlakon dalam karya biopik.

Beralih bicara tentang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Mimi akan pulang ke kampung halamannya di Taiping, Perak dan bercuti selama seminggu.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok