Ada orang tak puas hati dengan Nureen sehingga sanggup menyebarkan foto lama kami.”
Demikian kata pelakon Zizan Razak yang mengesyaki gosip dia bercinta dengan pempengaruh media sosial, Nureen disebarkan pihak yang cuba memfitnah mereka.
Katanya, gambar lama yang dirakam pada sebuah majlis tayangan filem tahun lalu itu sengaja diedarkan pihak terbabit kepada media tanpa diketahui motifnya.
“Kalau nak cakap soal isu keluar dengan rakan wanita, saya juga pernah keluar dengan beberapa wanita sebelum ini, bukan dia sahaja.
Saya tak tahu kenapa isu ini boleh timbul. Gambar itu diambil ketika tayangan Polis Evo 3.
“Tak baiklah buat benda macam ini. Saya ada bertanya kepada Nureen tetapi dia tak tahu,” katanya pada tayangan perdana program raya Astro, baru-baru ini.
Akui pemilik nama lengkap Mohd. Razizan Abdul Razak itu, dia tidak perlu memberikan respons terhadap desas-desus mengarut.
Baginya, lebih baik fokus terhadap kerjaya selain berharap tuduhan yang mengganggu perancangan kerja segera bernoktah.
“Perkara begini agak sensitif untuk saya. Seboleh mungkin saya tidak mahu jawab dakwaan yang cuba menjatuhkan nama saya.
Kalau benar gosip itu betul, saya okey untuk jawab tetapi itu tidak benar. Risau mengganggu kerjaya seni dan mencalar reputasi saya.
“Nureen kawan sahaja, tidak lebih daripada itu. Kawan biasa, bukan kawan industri. Nak kata dia kawan rapat saya, jawapannya tidak,” luahnya.
Terdahulu, gosip pelakon filem Abang Long Fadil 3 rapat dengan model pakaian muslimah itu menjadi perhatian selepas kerap dilihat meluangkan masa bersama dan menghadiri pelbagai acara. – HIBGLAM