Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Mierul Aiman terbaik – Tony Eusoff

PELAKON Tony Eusoff menzahirkan rasa syukur kerana tidak pernah bergandingan dengan pelakon muda bermasalah sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 47, semua pelakon baharu yang pernah bekerjasama dengannya adalah yang terbaik terutama Hun Haqeem, Daiyan Trisha dan Mierul Aiman.

“Saya pernah dengar cerita rakan-rakan yang pernah ‘terkena’ dengan pelakon baharu tetapi saya bernasib baik masih terselamat (ketawa).

Bagi saya pelakon muda seperti Hun Haqeem, Daiyan Trisha dan Mierul Aiman antara generasi pelapis yang berjiwa besar kerana serius dengan kerja mereka,” ulas Tony.

Tony yang terkenal dengan watak P. Ramlee mendedahkan, kebanyakan rungutan yang diterima daripada rakan artis adalah membabitkan pempengaruh (influncer) yang diundang berlakon kerana populariti mereka.

Banyak yang jadi masalah apabila pelakon itu pempengaruh media sosial. Kebanyakan mereka tidak ada latar belakang lakonan tetapi ditawar jadi pelakon kerana popular. Kira bidan terjunlah.

“Jadi, mereka memang tidak tahu selok-belok dunia lakonan. Walhal banyak perkara teknikal yang harus dipelajari sebelum berlakon,” kata Tony yang ditemui pada majlis tahlil sempena ulang tahun Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kelmarin.

Bintang teater P.Ramlee The Musical itu bakal muncul dengan filem Mencari Ramlee lakonannya bersama aktres Sofia Jane dan Mimi Lana yang dijangka akan menemui penonton di pawagam pada tahun ini.

Sementara itu, saat ditanya adakah dia kini lebih selektif, Tony berkata dia tidak mampu berbuat demikian demi kelangsungan hidup.

Kadang-kala saya pilih tetapi ada masanya apabila tidak cukup duit saya akan terima sahaja apa tawaran yang datang.

“Terus-terang saya terpaksa hadapi realiti terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana virus Covid-19.

“Saya pernah lalui zaman kegelapan (ketiadaan tawaran kerja) jadi kadang-kala tidak boleh memilih sangat. Walaupun begitu, saya tetap memberikan yang terbaik dalam setiap projek lakonan,” kata Tony. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok