KJ seronok jadi selebriti, politik sudah tiada keperluan

DIUSIK sudah ’rosak’ apabila menjadi individu berbeza berbanding sebelum, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak terkilan dengan gurauan sedemikian sebaliknya selesa dengan kehidupan sekarang.

Kata Khairy atau mesra disapa KJ, 48, dia seronok menjalani karier terkini, selain menegaskan tiada keperluan untuknya kembali ke dunia politik.

“Tak tahu lagi, tapi apa yang saya boleh katakan saya tengah seronok dengan kerjaya sekarang.

“Jadi tiada apa-apa keperluan untuk saya kembali ke dunia politik buat masa ini.

“Cabang saya masih lagi berada di mata publik sebagai seorang podcaster, deejay dan sebagai duta Elrah Exclusive, tapi ke mana selepas ini belum tahu lagi,” katanya kepada Kosmo! Online

Rezeki mencurah-curah dalam pelbagai lapangan, lelaki tinggi, gelap dan tampan itu mengakui teruja apabila dilantik menjadi duta pakaian produk tempatan, Elrah Exclusive pada tahun ini.

“Saya sangat teruja untuk bersama kempen raya Elrah Exclusive pada tahun ini. Saya setuju untuk kempen Elrah ini pun sebab pemilik dia El Azman.

“Pendapat saya dia seorang usahawan tempatan yang berjaya dan saya juga suka martabatkan baju Melayu.

“Kalau bukan kita, sesiapa lagi,” jelasnya.

Disoal sama ada mengangguk kepala andai disuakan tawaran berlakon, KJ tidak menolak kebarangkalian menerima pelawaan penerbit malah percaya kepada rezeki.

“Kalau ada rezeki tawaran untuk berlakon filem dan sebagainya, insya-Allah,” katanya pada majlis Tayangan Premier Filem Pendek Elrah Exclusive, semalam.

Sebelum ini, KJ mencuri perhatian masyarakat dengan berubah profesion dari dunia politik ke industri hiburan termasuk menjadi penyampai radio Hot FM, podcaster dan kini sibuk dengan kempen raya untuk produk tempatan.

Selain KJ, antara duta Elrah lain untuk kempen raya 2024 ialah Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairy, Meerqeen, Amir Ahnaf, MK, Shahril, Fahimi Rahmat dan Fadhli Masoot. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok