PELAKON Puteri Sarah Liyana menasihatkan Bella Astillah untuk memberi fokus 100 peratus terhadap anak-anak berdepan dengan kemelut rumah tangga dengan Aliff Aziz ketika ini.
Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 39, anak-anak perlu menjadi keutamaan Bella ketika ini dan usah mengambil kisah terhadap perkara lain yang berlaku di sekeliling.
Dia ada anak anak dan fokuskan energi pada mereka.
“Jangan fikir benda lain sebab semua itu akan menjatuhkan kita.
Apabila ada anak-anak, kita memiliki segala-galanya. Itu prioriti kita,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis buka puasa anjuran Mask Team di sini, hari ini.
Sementara itu, pelakon drama Hijrah Jannah itu enggan memberi ulasan lanjut mengenai kemelut rumah tangga Bella ketika ini namun tetap mendoakan sahabatnya agar diberikan kekuatan menhadapi dugaan.
Saya tak tahu apa yang berlaku, saya cuma tahu dia ada masalah dan sentiasa sokong serta beri semangat padanya.
“Sebelum ini, saya ada cakap pada dia bahawa saya sentiasa ada dengan dia,” ujarnya.
Tambahnya, Bella sebelum ini tidak pernah berkongsi masalah dan menyembunyikan segala masalah dihadapi dengan senyuman.
“Bella sentiasa senyum dan menyembunyikan masalah dia. Dia juga seorang yang ‘happy go lucky’ dan dia pernah beritahu perlukan semangat daripada saya.
Sebagai kawan, saya tahu ada sesuatu tetapi saya tak tanya lebih lanjut. Terpulang pada dia nak cerita atau tidak.
“Buat masa ini, saya doakan yang terbaik buat Bella san semoga kuat hadapi segala dugaan,” tuturnya.
Terdahulu, Bella sudah memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.
Sebutan kali pertama berlangsung semalam namun kelibat Aliff tidak kelihatan kerana terikat dengan penggambaran.
Sejak minggu lalu, nama Aliff menjadi bualan hangat selepas ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara awal pagi Sabtu lalu.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan dan bakal dibicarakan di mahmakah dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM