PELAKON Risteena Munim meminta orang ramai tidak terus melakukan serangan atau melempiaskan kemarahan dalam akaun media sosialnya berhubung kes tangkap khalwat adiknya, Ruhainies dengan penyanyi Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada Sabtu lalu.
Menurut Risteena atau nama penuhnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 35, dia juga ada perasaan dan berasa marah apabila netizen bertalu-talu menyerangnya serta Ruhainies.
Janganlah serang. Nanti saya marah, makan dalam tau.
“Ingat anda semua sahaja yang boleh bercakap sesuka hati? Marah ini,” katanya ringkas dalam InstaStory.
Luahan isteri kepada pelakon Isa Khan itu adalah merujuk kepada sebuah laporan media bertajuk ‘Netizen serang Instagram Risteena’ semalam.
Sementara itu, dalam perkongsian lain, dia memuat naik video memaparkan Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, sedang memasak kuetiau goreng.
Sejak Sabtu lalu, akaun media sosial Risteena dibanjiri kecaman dan kata-kata negatif netizen selepas tular laporan mengenai Ruhainies dan Aliff ditangkap khalwat pada awal pagi Sabtu.
Mereka yang ditahan atas dakwaan berkhalwat sudah dibebaskan dengan jaminan sementara pada Ahad lalu dan menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dijangka dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, adik kepada isteri Aliff, Bella Astillah iaitu Didi Astillah mengesahkan individu dicekup berkhalwat oleh JAWI pada Sabtu lalu adalah abang iparnya.
Tangkapan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.
Rentetan daripada itu, Aliff dan Ruhainies yang mengeluarkan kenyataan serentak dalam akaun media sosial masing-masing meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi tidak benar termasuk menuduh mereka ditangkap basah pada hari kejadian. – HIBGLAM