TAMPAK bersikap terbuka, hakikatnya isteri kepada pelakon Que Haidar, Linda Jasmine belum sedia memberi kebebasan kepada dua anak gadisnya mempunyai akaun media sosial sendiri.
Kata bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia itu, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar yang masih awal belasan tahun belum cukup matang membuat pertimbangan selain dibimbangi berkongsi perkara tidak sepatutnya.
“Saya dan bapa mereka bukan garang, sebaliknya hanya tegas dalam mendidik memandangkan situasi era siber sekarang tidak macam kami dulu.
Macam Ratu ada juga dia ‘masuk’ dalam Instagram rakannya menari bersama-sama, pada saya aktiviti sebegitu tidak mengapa sebab tarian memang kesukaannya.
“Kami bukan bimbang anak kami terdedah kepada kecaman, tetapi lebih risau kalau mereka muat naik sesuatu yang kami sendiri takut tengok,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan koleksi baju raya serta penampilan Ratu sebagai wajah ekslusif di bawah jenama Qierahman, baru-baru ini.
Memahami kecenderungan anak keduanya yang baru berusia 14 tahun terhadap dunia seni, Linda mengakui tidak menghalang Ratu terjun ke arena lakonan melihatkan kesungguhannya.
Namun katanya, biarlah remaja itu lebih dulu mempersiapkan diri dengan ilmu lakonan sebelum dilepaskan ke set penggambaran.
“Ketiga-tiga anak kami sudah ada di depan kamera sejak kecil terutama iklan, tetapi jika mahu serius berlakon saya pastikan dia buat persediaan dulu dengan masuk kelas atau bengkel.
“Antara ketiga-tiga mereka, Ratu yang tunjukkan minat berlakon, abangnya minat bidang lain, manakala Cleopatra lebih kepada matematik.
Jadi sebagai ibu bapa kita buka ruang dengan bagi lampu hijau supaya dia bersifat berani dengan berjinak-jinak dulu di arena peragaan, seperti dengan Qierahman ini,” ujarnya
Menurut Linda yang juga kareografer terkenal, sejak beberapa tahun lalu Que menjadi duta kepada baju Melayu jenama ini bermula sebagai pelanggan dan kini Ratu pula diangkat sebagai wajah baharu Qierahman.
“Walaupun masih 14 tahun, saya dah nampak keberanian Ratu tetapi bertanya dia dulu ketika pengasas Qierahman iaitu Fazrul Musa dan Qie Anuar pelawa jadi wajah ekslusif mereka.
“Apabila pihak Qierahman berikan peluang selepas nampak bakatnya, kenapa tidak dia cuba nasib kerana mana tahu selepas ini ruang untuk lakonan terbuka untuknya pula,” katanya.
Rumah tangga Linda bersama pelakon, Que yang dibina pada 14 Februari 2009 diserikan dua puteri, manakala anak lelakinya, Qalif Khan, 24, adalah hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM