PELAKON Noorkhiriah Ahmad Shapie reda berdepan dugaan apabila van jenazah milik Pertubuhan Amal Nur by Khiriah terbakar dalam kejadian malam semalam.
Katanya, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sudah lima tahun berkhidmat dan membawa minimum 100 jenazah setahun itu rosak teruk pada bahagian enjin selepas dijilat api.
Bila diuji begini saya terima, cuma sedih. Bukan semua mampu. Nampak macam tiada, tapi khidmatnya sangat besar, ramai yang menyumbang.
“Barangkali, Allah nak ganti dengan yang lebih baik. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian.
Saya terima apa sahaja yang Allah bagi. Doakan semoga van jenazah saya yang ini dapat diperbaiki semula saya sayang sangat-sangat,” tulisnya dalam Instagram.
Menerusi hantaran tersebut, pengasas badan kebajikan itu turut berkongsi video detik MPV hitam yang dipakir di kawasan kejiranan di sebuah taman perumahan itu terbakar.
Pelakon filem Rabun itu juga berterima kasih dengan tindakan pantas jiran tetangga yang menghubungi bomba serta kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membolehkan api dapat dipadamkan sebelum marak.
Begitupun, menurutnya tidak pasti sama ada kerosakan pada bahagian utama itu dapat diperbaiki selain masih menunggu pemeriksaan serta laporan insurans.
Doakan dapat dibaiki semula andai Allah izinkan, jika tak cukup duit nak baiki dengan rendah diri saya akan mohon sumbangan tapi jika tak boleh saya tak buka tabung,” ujarnya.
Difahamkan, ketika kejadian Noorkhiriah berada di Pulau Pinang menghantar anaknya pulang ke asrama.
MPV terbabit juga adalah kenderaan pertamanya sebelum diubah kepada van jenazah.
Pertubuhan Amal Nur by Khiriah adalah organisasi yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan bantuan kematian kepada masyarakat. – HIBGLAM