SELEPAS kejayaan single pertama, Pilihanku, penyanyi kelahiran Singapura, Osem Han kini muncul dengan single kedua berjudul Supernova.
Dicipta sendiri Osem bersama temannya yang juga gitaris, Alif Putra, Supernova mengisahkan tentang perjuangan untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan.
Menurut Osem, Supernova begitu istimewa kerana menyuntik nasihat dan motivasi yang berguna buat semua lapisan masyarakat.
Seperti makna Supernova iaitu api yang paling panas dan cahaya paling terang, api itu adalah semangat dan cahaya itu harapan.
“Selain motivasi membangkitkan semangat, sisi lain lagu ini juga ada unsur-unsur persahabatan dan realiti kehidupan masa kini,” kata Osem tentang lagu yang video muziknya diarahkan oleh Amylea Azizan.
Dalam pada itu, Osem mendedahkan, dia sepatutnya menjayakan lagu Supernova secara berkumpulan membabitkan dua lagi ahli muzik popular dari Malaysia dan Indonesia.
Namun, kerana kekangan masa perancangan tersebut tidak kesampaian dan Osem meneruskan Supernova secara solo.
Ketika mencipta Supernova, saya membayangkan lagu ini dipersembahkan secara berkumpulan dengan pemuzik hebat daripada tiga negara.
“Malah, kami sebenarnya sudah menyiapkan video muzik bersama, tetapi sudah tertulis tiada rezeki.
Disebabkan komitmen kerja masing-masing, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasrat tampil secara berkumpulan.
“Video muzik yang sudahpun siap untuk ditayangkan juga terpaksa disunting semula agar bersesuaian dengan konsep persembahan solo,” tuturnya.
Tahun lalu, selepas 30 tahun terbabit dalam dunia muzik, Osem memberanikan diri tampil dengan single pertama berjudul Pilihanku.
Lagu itu berjaya menembusi carta Radio Ria Singapura dan menduduki tangga kesembilan. Malah, Pilihanku masih lagi diputarkan kebanyakan radio Singapura sehingga kini.
Sejujurnya saya sendiri tidak sangka single pertama mendapat sambutan yang sangat baik di Singapura tanpa sebarang promosi.
“Mulanya saya tidak yakin lagu ini mendapat sambutan tetapi melihat perkembangan positif itu membuatkan saya lebih yakin untuk tampil dengan Supernova,” ujarnya.
Supernova sudah boleh dimuat turun di semua pelantar digital termasuk YouTube Seventeen Eleven yang kini meraih kira-kira 60,000 tontonan sejak dilancarkan 19 Januari lalu. – HIBGLAM