Jatuh di set penggambaran, pergelangan tangan Azira Shafinaz retak

GARA-GARA terjatuh ketika menjayakan babak terakhir sebuah drama, pergelangan tangan kiri pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz disahkan retak.

Bagaimanapun, Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 33, bersyukur tidak berdepan kecederaan yang lebih serius.

“Secara tidak sengaja saya terjatuh semasa menjayakan satu babak di set penggambaran malam tadi.

“Syukur, Alhamdullilah tiada kecederaan serius berlaku, cuma ada sedikit retak di bahagian pergelangan tangan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Pada perkongsian tersebut, Azira turut menunjukkan gambarnya di sebuah pusat perubatan dengan keadaan tangan berbalut anduh.

Pada masa sama anggota De Fam itu berharap dapat segera sihat agar boleh menyambung tugasan yang belum selesai.

“Tolong doakan saya cepat sembuh dan dapat mulakan penggambaran ya,” tulisnya lagi.

Difahamkan drama berjudul Nafsu itu diterbitkan untuk sebuah saluran perkhidmatan media lepas pelantar
(OTT).

Menerusi semakan HibGlam menerusi ruangan komen, rata-rata peminat terkejut dengan khabar duka itu dan memintanya lebih berhati-hati.

Bahkan pelakon filem Penunggang Agama itu tidak ketinggalan mendoakan agar dirinya diberi kesembuhan segera.

“Ya Allah Azira, semoga cepat sembuh, tolobg berhati-hati, badan kita nak pakai lama, salah gerak sikit boleh jadi benda lain,” komen netizen itu.

“Hati-hati Azira, rehat la sekejap, bagi sembuh betul-betul baru sambung balik ‘shooting’.

Difahamkan menerusi naskhah tersebut Azira membawakan watak seorang doktor. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok