PEMPENGARUH media sosial, Hafiz Mahamad dan isteri, Syafiqah Aina menghabiskan belanja sehingga mencecah jutaan ringgit untuk memberikan hadiah kepada stokisnya bersempena penganjuran kali pertama Anugerah AINAA Super Seven Awards yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.
Enggan mendedahkan kos sebenar belanja yang dikeluarkan, namun Hafiz berkata anugerah tersebut diadakan untuk membuatkan stokisnya berasa gembira dan dihargai.
“Untuk kebiasaannya, jumlah itu saya tidak kongsikan sebab takut persepsi orang lain-lain. Tapi Alhamdulillah, ada bajet yang kami sediakan untuk buat para stokis kita berasa gembira.
“Ikutkan cecah jugalah ‘million’ (juta) itu. Sebab ada pelbagai hadiah seperti wang tunai, dua buah kereta dan telefon pintar yang diberikan kepada stokis berjaya,” katanya.
Tambah usahawan berusia 31 tahun itu lagi, idea untuk mengadakan Anugerah AINAA Super Seven Awards tercetus selepas dia dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Gempak Most Wanted yang diadakan pada tahun lepas.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka boleh anjurkan sebuah anugerah dan berikan suasana itu kepada stokis yang rajin berusaha.
“Bagi saya, mungkin selama ini mereka hanya mampu tonton anugerah seperti ini dalam kaca televisyen (TV) sahaja dan tidak pernah merasai suasana menghadiri majlis sebegini.
“Jadi saya anjurkan anugerah seperti ini untuk mereka merasainya,” jelasnya.
Kategori yang dipertandingkan pada malam itu adalah Usahawan AINAA BBNU, AINAA Best Creator Award, AINAA Super Inspirational Award dan Usahawan AINAA Paling Popular melalui unidan yang dibuka sejak 18 Januari hingga 17 Februari 2024.
Antara hadiah yang dimenangi stokis bertuah adalah seperti satu pakej haji, dua buah kereta Perodua Axia, 21 pakej umrah, tiga pakej percutian Maldives serta lebih daripada 10 buah iPhone 15 Promax.
Malam kemuncak AINAA Super Seven Awards yang menghimpunkan lebih daripada 1,500 stokis AINAA dari seluruh Malaysia turut menyaksikan persembahan daripada penyanyi popular seperti Ernie Zakri, Ella dan Bunkface.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah beberapa orang selebriti dan pempengaruh media sosial lain seperti Elfira Loy, Emy Chacha, Muhammad Noor, Akmal Hizzat, Fatin Noraishah, Acap S dan Athirah Kamaruzzaman. – HIBGLAM