PENYANYI popular Indonesia mengakui kehidupan wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) bernama Eerah yang menjual burger sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini banyak mengajarnya erti kehidupan.
Kata Cakra, 32, dia juga tidak menyangka Eerah muncul di pentas pada konsert A Decade Cakra Khan 2.0 Live in Kuala Lumpur di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam.
“Saya pernah melihat videonya tular dalam media sosial tahun lalu sebelum menghantar jemputan untuk ke konsert hari ini (semalam) tetapi ditolak atas alasan sibuk berniaga.
“Tiba-tiba ada kejutan, dia muncul di pentas dengan membawa burger. Memang terharu dan rasa sangat tersentuh melihat kesungguhannya,” katanya pada sidang akhbar usai konsert semalam.
Selain rasa terharu, kegigihan Eerah meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan membuatkan jiwanya tersentak dan belajar untuk lebih bersyukur dengan setiap perkara.
“Banyak yang saya belajar selepas melihat Eerah seperti harus selalu bersyukur dan percaya sentiasa ada harapan dalam setiap perkara.
“Dia contoh terbaik untuk kita semua ikut terutama berkaitan kesungguhannya mencari rezeki dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupan,” katanya lagi.
Malam tadi, Eerah atau nama penuhnya Jaheerah Nadzri, 29, membuat kejutan hadir ke konsert penyanyi itu dan turut membawa burger ‘kahwin’ (daging dan ayam) istimewa buat Cakra.
Eerah mula dikenali ramai selepas tular videonya membuat burger di sebuah gerai jalanan di Kota Warisan, Sepang.
Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman turut merasai makanan tersebut selain mendendangkan lagu Jangan Mudah Putus Asa.
Pada konsert yang dihadiri lebih 2,900 penonton, Cakra mendendangkan sebanyak 25 buah lagu termasuk duet bersama Datuk Seri Rossa, Judika dan Dayang Nurfaizah.
Konsert anjuran Seven Skies Motion Sdn Bhd turut menyaksikan persembahan muzik diiringi orkestra yang diketuai maestro tersohor, Datuk Ramli MS. – HIBGLAM