4 pelakon wanita K-pop ‘meletup’ awal

MEMILIKI raut wajah menawan seiring bakat berkualiti menjadi antara ciri yang perlu ada untuk menjadi selebriti, namun semua itu bukan satu tiket atau jaminan setiap artis terus meledak dan disukai ramai.

Semuanya berbalik kepada nasib dan tuah kerana hakikatnya ingin membina nama dalam bidang seni bukanlah mudah. Setiap anak seni, penyanyi mahupun pelakon perlu bersaing dengan deretan lagi nama pemain industri sedia ada.

Begitupun, terdapat beberapa selebriti yang bernasib baik apabila namanya dijulang selain bakat dihargai sekian ramai orang meskipun dengan hanya sekali percubaan.

Daebak minggu ini menampilkan nama selebriti Korea Selatan yang pantas meraih populariti mendadak hanya dengan sekali percubaan tanpa perlu berdepan begitu banyak cabaran.

  • Bae Suzy

Bertatih membina karier seni sebagai seorang penyanyi barangkali payah bagi sesetengah golongan itu menekuni dunia baharu seperti bidang lakonan.

Namun situasi sama tidak berlaku kepada gadis jelita Bae Suzy, seperti tuah datang mendakapnya. Percubaan pertama Syzy menerjuni dunia lakonan bermula dengan filem Architecture 101 pada tahun 2012 ternyata membuahkan hasil.

Lakonannya yang tampak natural dan tidak kelihatan terlalu mencuba menjadikan idola berusia 30 tahun itu semakin dicintai masyarakat Korea Selatan.

Bukan hanya itu, dia berjaya menambat penonton seluruh dunia sehingga diberi julukan Nation’s First Love menerusi naskhah tersebut.

Kini, dia bukan sahaja bergelar penyanyi yang disanjungi, namun pada masa sama menjadi aktres papan atas dan sering menjadi rebutan deretan sutradara.

  • Lee Han-byeol

Siapa sahaja tidak mengenali aktres yang sudah mendunia dengan naskhah tular berjudul Mask Girl ini. Lakonan Lee Han-byeol dalam karya tersebut dikatakan sangat bijak dalam memberi ekspresi.

Aktres berusia 29 tahun itu merupakan pendatang baharu dalam industri seni malah naskhah tersebut merupakan tawaran pertama yang dijayakannya.

Bayangkan, dia perlu menjalani uji bakat untuk bersaing dengan lebih 1,000 pelakon baharu lain yang rata-ratanya datang dengan persiapan lengkap selain mempunyai latar belakang dalam dunia lakonan.

Percaya itu adalah tuah buatnya, Han-byeol bersyukur bakat dan namanya terus dijulang tanpa perlu melalui banyak fasa pahit seperti orang lain.

  • Jung Ho-yeon

Kemunculan Jung Ho-yeon dalam siri fenomena Squid Game pada tahun 2021 dengan mutu lakonan setara pelakon senior merupakan satu ‘plot twist’ yang tidak pernah terduga oleh pencinta drama genre tersebut.

Mana tidaknya, penghayatan lakonan seiring ekspresi wajah mengesankan tidak membezakan Ho-yeon dengan pelakon senior lain walhal, Squid Game merupakan naskhah debut lakonannya.

Lakonan model pentas catwalk itu mendapat pujian deretan pengkritik baik dari dalam mahupun luar negara yang rata-ratanya terkejut dengan persembahan, dinamik dan intonasi vokalnya.

Percubaan pertama kalinya itu menjadi malah terlihat sangat profesional sehingga dengan namanya menjadi mahal dalam industri lakonan.

  • IU

Popular sebagai antara penyanyi terhebat di Korea Selatan, IU juga menjadi buruan deretan sutradara untuk menghiasi watak dalam naskhah mereka.

Memiliki raut wajah jelita seiring bakat lakonan yang digemari sekian ramai orang, apa sahaja naskhah lakonan IU sering mendapat ‘rating’ tinggi dan meledak dalam media sosial.

Teman wanita kepada pelakon Lee Jong-suk itu mula debut dalam arena lakonan bermula tahun 2011 menerusi drama Dream High yang meraih pelbagai anugerah meskipun baru pertama kali berlakon.

Bukan itu sahaja, ramai aktor papan atas mahupun artis senior berebut ingin menjadi regu lakonnya baik dalam filem mahupun drama.

Popularitinya tidak dapat disangkalkan lagi apabila semua drama dan filem yang dibintanginya menjadi fenomena sekali gus menyapu licin setiap anugerah yang menuntut undian peminat.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok