Lakonan ruang saya ekspresikan diri – Alya Iman

TAMPAK berani sedari awal terjun ke arena lakonan apabila mengambil langkah drastik mengubah penampilan disusuli pemilihan imej seksi, si manis Alya Iman mengakui, sifat pemalu amat menebal memagari jiwanya.

Lebih selesa memendam perasaan, pemilik nama sebenar Nur Alya Iman Azmil itu menjadikan lakonan sebagai gelanggang ekspresi perasaan, sekali gus menjiwai dan ‘menikmati’ dunia orang lain.

Baginya, peluang meneroka pelbagai watak termasuk antagonis menghadirkan rasa puas, selain dijadikan escapisme lari seketika dari dunia nyata.

Lakonan sebenarnya ruang untuk ekspresi diri. Saya semakin menyukai bidang lakonan selepas meneroka lapangan seni ini sejak tiga tahun lalu.

“Walaupun orang mungkin nampak saya berjiwa kental dan tak peduli kecaman sehingga dicop sombong, hakikatnya saya seorang yang pemalu.

“Apa pun tanggapan, saya pasti suatu hari nanti mereka yang melontarkan kutukan atau buruk sangka hanya disebabkan imej mahupun watak saya dalam drama, akan dapat terima saya seadanya,” ungkap bintang Layang-Layang Perkahwinan itu.

Mengakui penampilan dalam drama bersiri yang kini menghiasi saluran Astro Ria turut menggandakan kecaman termasuk dibenci segelintir penonton, Alya hanya mampu tersenyum.

Babak bilik air

Baginya penampilan dalam babak bilik air bersama pelakon Shukri Yahaya yang dikatakan berunsur lucah hanyalah tanggapan rambang.

Pucuk muda berusia 23 tahun itu berkata, sewaktu sebelum memulakan penggambaran adegan yang mencetuskan kontroversi, dia lebih dulu berbincang dengan pengarah, Eyra Rahman.

WATAK penyondol dalam drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan mudah membuka ruang kecaman buat Alya Iman.

“Saya harap orang ramai tonton dulu naskhah sarat pengajaran ini kerana banyak yang boleh dijadikan ikhtibar terutama buat pasangan suami isteri.

“Dalam drama ini saya memegang watak isteri kedua bernama Tsuraya, manakala adegan dalam bilik air itu pula tidak membabitkan pelakuan jelek seperti dibayangkan sesetengah pihak.

Saya cuma jalankan tanggungjawab sebagai pelakon. Memang ada yang kecam sampai saya takut nak buka laman sosial, tapi tak mengapalah sebab itu bermakna watak Tsuraya menjadi,” tambahnya.

Tidak kisah dibenci atas kejayaan menjiwai watak perampas dalam naskhah tersebut, anak kepada pelakon senior Allahyarham Azmil Mustapha menyifatkan semua itu adalah asam garam sebagai anak seni.

Katanya, asalkan tidak melampau perkara seperti itu hanya satu tanda peringatan dalam catatan karier lakonannya.

Alya turut menyifatkan, tidak semesti watak dibawakan harus mencerminkan keperibadian diri kerana semuanya adalah satu tuntutan skrip.

Soal hati, jodoh

“Saya tetap Alya Iman yang ingin tenang dalam menjalani kehidupan dan kerjaya, jangan risau,” ulasnya sambil tersenyum.

Di sebalik karakter isteri kedua kepada Azim (Shukri Yahaya) sekali gus madu kepada Saida (Ezzanie Jasny), dalam kehidupan realiti, soal jodoh masih terlalu untuk memasuki pertimbangan perancangan hidupnya buat masa ini.

Wanita yang mesra dibahasakan Alyimm itu lebih memikirkan perkembangan kerjaya, memuaskan hati dengan menggalas lebih banyak karakter yang belum pernah dicuba sebelum ini.

HIDUP berdikari seawal usia remaja, anak Allahyarham Azmil Mustapha itu mahu bergelar pelakon versatil suatu hari nanti.

Soal hati kita letak ke tepi dulu kerana perjalanan kerjaya seni saya baru bermula apatah lagi belum banyak watak dapat saya galas.

“Kalau boleh saya ingin dalami karakter wanita psiko, namun dalam Layang-Layang Perkahwinan Tsuraya juga digambarkan sarat dengan emosi.

“Memang berat bermain emosi tetapi dengan bantuan pengarah dan pelakon lain semuanya berlangsung dengan sempurna,” tambahnya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok