TV AlHijrah tak kejar rating

BERBANDING mengejar rating, rancangan berunsur dakwah serta informasi tetap menjadi keutamaan TV AlHijrah dalam memilih program terbaik sepanjang 2024.

Teguh dengan matlamat berkongsi syiar Islam, stesen televisyen berpengaruh itu memilih untuk menghasilkan program realiti pertandingan hanya dua tahun sekali.

Walaupun 2023 menyaksikan mereka kekal sebagai saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus, kelebihan tersebut bukan alasan meletakkan ke tepi mandat digalas sejak bersiaran hampir 14 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, tidak dinafikan program realiti terbitan mereka meraih sambutan dengan catatan peratusan tontonan tertinggi, namun tanggungjawab terhadap khalayak melebihi tarikan mengejar populariti.

Boleh dikatakan TV AlHijrah menongkah arus apabila kembali kepada mendekati penonton dengan siaran dalam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya. 

“Begitu juga dengan keputusan mengenai program realiti yang mungkin diadakan hanya dua tahun sekali seperti Pentas Marhaban yang tamat Disember lalu biarpun mampu mengumpulkan kelompok peminat tegar.

UNTUK 2024, TV AlHijrah masih mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa mengenepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.

“Kami lebih mengutamakan objektif asal penubuhan stesen ini yang berteraskan perkongsian ilmu dan dakwah, bukannya fokus terhadap rancangan realiti seperti saluran lain,” katanya ketika pengumuman senarai program 2024, baru-baru ini.

Tahun ini TV AlHijrah masih mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa mengenepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.

Bermula 20 Januari, Akademi Qurra’ yang mendapat 4.4 juta tontonan ‘screenview’ secara keseluruhan pada musim pertama siarannya kembali untuk mencari figura teladan dalam melahirkan pencinta al-Quran.

Sebagai pembaharuan, dua mudarrisah baharu diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim, manakala Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan.

Rating naik

Antara pengisian lain seperti Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114 yang kesemuanya membaja ilmu, iman serta ketakwaan selain meneruskan rancangan 30 Minit Bersama.

“Tahun ini TV AlHijrah membawakan pendakwah seperti Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi yang merupakan huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW.

Penonton juga boleh ke aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8,000 kandungan tersedia dan secara langsung, yang kini diikuti 100,000 pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei,” ujarnya.

Berkongsi pencapaian stesen terbabit, akuinya TV AlHijrah berada di kedudukan Top 5 daripada semua saluran sepanjang kempen #PalestinKembali sehingga menjadikan prestasi mereka pada masa kini tertinggi sejak mula beroperasi sekitar 2010.

“Melalui data AC Nielsen, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton sepanjang bulan Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.

“Bahkan program menarik lain juga menunjukkan capaian penonton tertinggi seperti Assalamualaikum dengan 12.5 juta tontonan selain Berita AlHijrah (7.3 juta) dan angka sama diraih Quran@114, disusuli Pentas Marhaban (3.2 juta),” kongsinya.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok