Tak perlu berebut, mental anak kena jaga – Keith Foo

ENGGAN merosakkan emosi anak, pelakon Keith Foo memilih untuk tidak mementingkan diri dengan mengekalkan hubungan baik bersama bekas isteri, Kim Raymond sejak berpisah tiga tahun lalu.

Katanya, setiap pasangan yang memilih perceraian sebagai jalan terakhir perlu meletakkan ego masing-masing ke tepi agar tiada pertikaian di kemudian hari terutama membabitkan penjagaan zuriat mereka.

“Kami sama-sama matang. Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, kami masih ibu bapa kepada satu-satunya puteri kami yang kini sudah berusia enam tahun.

Tidak perlu bergaduh berebut anak atau perkara tidak sepatutnya. Kita yang inginkan anak ini, pada akhirnya perlu bertolak-ansur dan banyak berbincang.

“Apa pun yang terjadi antara kita, jangan libatkan anak dalam konflik, berbaiklah sebagai kawan serta sama-sama besarkan mereka. Mental anak perlu dijaga,” katanya selepas sidang media drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan, semalam.

Keith yang membawakan watak Ammar Arafat dalam naskhah siaran Astro Ria itu juga mengakui belum terfikir untuk menamatkan zaman duda, sebaliknya bahagia menikmati kehidupan solo.

“Setakat ini saya tidak mencari pengganti kerana masih seronok menjalani aktiviti harian, selain bersyukur ada kerja, dapat melancong, berkhemah dan sebagainya.

Kalau nak ke fasa seterusnya pun saya tak memilih atau meletakkan syarat tertentu, tetapi kena ambil kira perasaan anak walaupun dia masih terlalu kecil.

“Asalkan anak selesa dengan si dia, sebab kalau letak banyak kriteria nanti takut pula akhirnya tiada keserasian. Jadi, tak guna terlampau cerewet,” ujarnya.

Pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin, 41, mendirikan rumah tangga dengan model, Kim Raymond pada November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar.

Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu tidak kekal lama apabila mereka sah bercerai pada Disember 2019.

Sementara itu, mengenai peranan digalas dalam Layang-layang Perkahwinan, Ammar Arafat lelaki yang muncul dalam hidup Saida Amanda lakonan Ezzanie Jasny ketika wanita itu dicurangi suami, Azim Hasibullah (Shukri Yahaya). – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok