Prosiding Sulh gagal, tuntutan hadanah Fizi Ali ke perbicaraan

KES tuntutan hadanah yang difailkan penyampai radio Fizi Ali terhadap bekas isterinya, Shakilla Khoriri berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Ia berikutan apabila kedua-dua pihak hari ini gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding Sulh yang dijalankan berhubung tuntutan itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Nurhusniah Husin yang mewakili Fizi ketika ditemui selepas prosiding kes Sulh itu.

“Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam syarie itu.

Prosiding Sulh ialah suatu perundingan dan perbincangan di antara pihak-pihak di hadapan pegawai berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah.

Untuk rekod Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin, 37, selaku plaintif memfailkan tuntutan hadanah kekal itu pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla, 35, sebagai defendan.

Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai permohonan itu tidak didedahkan secara terperinci.

Sebelum prosiding Sulh bermula, Fizi menyatakan tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak sebaliknya hanya mengiginkan anak perempuanya itu mendapat kasih sayang yang sempurna.

Sebelum ini, media melaporkan Fizi memilih untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan kemelut membabitkan urusan penjagaan anak dengan Shakilla.

Kata Fizi dia masih tidak dapat berhubung dengan anak kesayangannya Nur Ameena Sofia, 5, itu apabila panggilan telefon tidak diangkat dan mesej tidak berbalas.

Terdahulu, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.

Kata Fizi, dia menunggu Ameena untuk tampil membuat persembahan di majlis konvokesyen tersebut namun kelibat anaknya itu tiada.

Sebelum itu, Fizi telah memuat naik hantaran dalam Instagram meluahkan rasa rindu terhadap anaknya sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.

Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok