‘Tak perlu bergantung dengan manusia untuk bahagia’

TUJUH tahun menjanda selepas dua kali retaknya rumah tangga dibina, primadona filem Melayu alaf baharu Erra Fazira sentiasa dihambat persoalan berkaitan jodoh.

Terbaharu, meledak pula khabar angin kononnya pemilik nama penuh Fazira Wan Chek sudah menjadi milik orang apabila ada yang mendakwa melihat gambar perkahwinan bintang jelita itu dengan orang kenamaan tergantung di dinding rumah.

Enggan ramai salah faham, aktres berusia 50 tahun itu tampil menjelaskan hatinya belum ditawan mana-mana arjuna bahkan sehingga kini masih berstatus ibu tungga.

Saya masih ibu tunggal, malah sudah bertahun-tahun solo tapi saya tidak pernah menutup pintu hati, cuma sekarang mungkin belum lagi.

“Saya pun tak tahu motif orang gosip hal sedemikian, mungkin ada hikmahnya iaitu bermakna orang masih berminat nak tahu tentang kisah peribadi kita.

Kadang-kadang bila kita dah sampai pada usia sebegini, kita tak terfikir dah soal begitu. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang.

“Bagi saya tidak perlu bergantung dengan manusia untuk berbahagia,” ujarnya.

Beralih perihal karier,  ibu kepada Engku Aleesya, 14, itu kini tampaknya selesa membawakan watak sampingan meskipun bergelar primadona.

MEMEGANG watak Datuk Nasha dalam drama Rampas Cintaku 2 mencabar kebolehan Erra menggunakan ekspresi wajah dan pergerakan badan untuk meluah emosi dan menghidupkan karakter.

Bakal muncul dalam naskhah sensasi berjudul Rampas Cintaku 2 menerusi karakter Datuk Nasha, Erra berkata watak sampingan juga penting untuk menghidupkan cerita, selain enggan terbeban dek julukan diberikan apabila hanya ingin mencari kepuasan sebagai pelakon.

“Itu saya kata, apabila diberi julukan tertentu, impaknya kepada artis itu sendiri, kena cari naskhah dan watak yang hebat padahal tidak setiap masa kita mendapat peranan sebegitu apatah lagi di usia begini.

Kita bukan pelakon Hollywood yang sentiasa ditawarkan watak dan naskhah hebat, mahu tunggu itu semua memang makan masa.

“Ramai tanya kenapa ambil watak ringan tapi bagi saya sebagai seorang pelakon, kadang-kadang saya mahukan watak berat dan begitulah sebaliknya, saya tidak mahu ambil pusing gelaran itu dan tidak mahu terbeban,” katanya.

Paling utama kata Erra, meniti di usia 50-an ini, tiada apa yang ingin dia kejarkan dan enggan merasa stres ketika berada di set penggambaran dek mengejar tuntutan peranan utama.

“Saya memang banyak kali bawak watak cameo sahaja dan saya tidak kisah. Lagi pula di umur sebegini saya memang tidak mahu terlibat lama di set penggambaran.

Saya dah puas lalui zaman bekerja dari pagi ke pagi, kini saya memilih untuk pergi kerja dengan keadaan seronok dan tidak terlalu tertekan memikirkan tuntutan sebagai watak utama bagi sesebuah naskhah.

“Lagipun saya bukanlah di zaman untuk mengejar atau mencapai sesuatu seperti anugerah atau sebagainya, sekarang saya memang akan pilih watak kedua atau sampingan, peranan utama bagilah orang lain,” katanya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok