Faizal Hussein bukan jenis makan banyak

 BAGAI tidak dimamah usia. Begitulah perumpamaan menggambarkan penampilan pelakon Faizal Hussein yang kekal tampan dan bertenaga pada usia 57 tahun.

Tanpa berselindung, aktor yang aktif di arena seni sejak awal 1970-an itu mendedahkan, rahsia kekal cergasnya adalah dengan senaman ringan sebagai rutin harian.

Rutin wajib

Selesa berkongsi rahsia, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui tidak pernah ke pusat kecergasan, sebaliknya hanya mengangkat pemberat atau ‘dumbbell’ sebanyak 150 hingga 300 kali sehari.

“Jangan culas, itu saja. Dalam apa aktiviti kita buat pun, kena konsisten supaya manfaat atau kesannya dapat kita rasai, bukannya sekerat jalan.

“Saya tak pernah ke gimnasium tetapi ada satu dumbbell di rumah yang saya angkat beratus kali setiap hari. Itu aktiviti wajib saya sejak bertahun-tahun dulu.

“Rutin ini juga saya buat bergantung keadaan, kerana kalau ada sesuatu yang saya nak capai, boleh saja angkat sampai 300 kali.

“Alhamdulillah, setakat ini sudah nampak hasilnya. Kita kena lakukan aktiviti mengeluarkan peluh supaya terus sihat dan bertenaga,” kongsinya.

Pada masa sama, Faizal turut mengelak untuk menambah nasi dalam setiap hidangan sejak dulu lagi.

Katanya, walaupun masih ada yang menyifatkan dirinya mengamalkan rejim diet ketat, amalan tersebut bukan bertujuan mahu kekal kurus, sebaliknya lebih kepada penjagaan dalaman.

“Saya bukan berpantang atau diet sampai semuanya bercatu, cuma mungkin sebab sudah biasa kurangkan makanan ruji ini sejak bertahun-tahun dulu.

“Bukan tak menikmati juadah, cuma sudah biasa makan sikit sampaikan keluarga serta orang yang rapat tahu saya bukan jenis makan banyak,” kongsinya lagi.

Penjahat tangkas 

Menurut pelakon drama W: Two Worlds itu, drama bersiri yang baharu tamat siaran menerusi platform Viu antara penerbitan karya yang mencabar kemampuannya.

Katanya, selain watak pelukis animasi bernama Omar Yusof, dia juga menggalas karakter penjahat dalam dunia ciptaannya.

Sebagai antagonis yang juga pembunuh, akuinya watak Killer digambarkan berbeza daripada Omar kerana tangkas bertarung dan handal menggunakan senjata.

“Sebenarnya kewujudan Killer adalah kejutan untuk penonton kerana hanya selepas pertengahan siri ini identitinya didedahkan yang juga cabaran buat saya membawakan dua peranan dalam satu masa.

“Watak ‘hitam’ itu tiada masalah kerana senaman banyak membantu, cuma bagi Omar saya banyak bermain emosi dalaman kerana dia digambarkan lemah.

“Malah, dalam satu babak Omar ditonjolkan hilang wajah yang memerlukan saya memakai topeng dalam tempoh beberapa jam,” tambahnya.

Begitupun, menurut pemilik nama lengkap Mohd. Faizal Hussein itu, seiring peningkatan usia, ketenangan adalah faktor utama melayari dalam melayari kehidupan selain menikmati proses alami.

“Masa terus berjalan, bagi saya kita lalui saja perjalanan ini dengan tenang dan sebagai anak seni selagi diminta membawakan babak aksi, saya tetap bersedia.

“Ini kerana, sejak dulu pun sudah biasa dengan adegan pertarungan atau aksi lasak, cuma kita kena lebih berhati-hati agar dapat mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Drama adaptasi drama Korea Selatan yang disiarkan bermula 30 November lalu itu turut membariskan Hun Haqeem, Daiyan Trisya, Mierul Aiman dan Elizabeth Tan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok