DEMI mendalami al-Quran pelakon dan pengacara Shamsul Ghau Ghau sanggup berhabis harta benda termasuk wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM300,000 selain menjual dua rumahnya.
Tidak cukup dengan itu, Shamsul, 55, yang kini lebih mesra disapa Pak Su mendedahkan dia turut menjual motosikal dan kereta miliknya bagi menampung perbelanjaan keluarga sepanjang tempoh 10 tahun.
“Sepanjang 10 tahun tiada langsung tawaran kerja seni, saya memang fokus belajar al-Quran.
Duit simpanan ASB habis, dua rumah, kereta dan motosikal semua saya jual kerana saya ada bajet perbelanjaan untuk keluarga setiap bulan.
“Contoh jika sebulan perlu ada RM5,000 setahun sudah RM60,000. Saya nekad jual semuanya kerana sudah lama simpan niat untuk belajar al-Quran,” ujar Syamsul.
Tambah Shamsul, dia mengambil keputusan untuk menjual segala harta miliknya kerana tawaran dalam bidang seni semakin berkurangan dan akhirnya tiada langsung dalam tempoh itu.
“Dulu bukan seperti sekarang ada pelbagai media sosial. Zaman saya dulu televisyen adalah media utama.
Disebabkan fokus belajar al-Quran dan kebetulan guru saya pula tegas, jika tidak hadir walau sekalipun, kelas saya akan dibatalkan dan dia tidak mahu mengajar saya lagi.
“Jadi saya pilih untuk terus belajar, ada tawaran datang saya tolak kerana bertembung dengan kelas menyebabkan lama-kelamaan saya hilang daripada dunia seni,” jelas Syamsul.
Namun begitu, Shamsul tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilih itu kerana selesai pengajian dia telah memperolehi Kad Tauliah Kategori D3.
Tauliah Mengajar Al-Quran tersebut melayakkan Shamsul dibenarkan mengajar dan memberi ceramah di Selangor.
Tujuan saya belajar dan seterusnya mengambil tauliah bukanlah untuk riak. Sebaliknya mahu menunjukkan siapa pun, tidak kira usia dan latar belakang boleh belajar,” katanya.
Kini selain kembali berlakon, Shamsul juga aktif sebagai penceramah dan pendakwah bebas.
Dalam perkembangan lain, Shamsul kini mengacarakan program Pentas Marhaban yang bersiaran setiap Sabtu di TV AlHijrah. – HIBGLAM