PENYANYI Aisyah Aziz bersyukur masih diberi peluang oleh Tuhan untuk memperbaiki diri terutama berkaitan agama.
Menurut Aisyah atau nama penuhnya Nur Aisyah Azi, 30, perkara tersebut jelas terbukti apabila doanya untuk terus berada di jalan Allah dimakbulkan menerusi dugaan serta peluang memperbaiki rukun Islam kedua iaitu solat lima waktu.
“Sekitar tahun lalu, saya minta pada Allah agar diberikan hidayah dan petunjuk agar diberi kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang perlu.
“Apabila diminta kekuatan, Allah berikannya. Kemudian Dia menguji saya dengan dugaan pada 23 Januari tahun lalu untuk membimbing ke jalanNya,” katanya dalam InstaStory.
Sejak detik itu, dia mula memperbaiki solatnya malah banyak mempelajari daripada seorang sahabat.
Malah, hubungannya dengan keluarga iaitu ibu dan bapa juga semakin baik selain berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci sekitar November tahun lalu.
“Saya memperbetulkan semula solat dan banyak diinspirasi daripada seorang sahabat. Perkara itu memberikan ketenangan jiwa.
“Selain itu, saya lebih memahami tentang erti bersederhana, menangis seorang diri dengan menyoal diri sendiri sama ada mampu untuk menjauhi perkara berkaitan duniawi.
“Hubungan saya dengan ibu dan ayah juga semakin baik malah dapat peluang menunaikan ibadah umrah pada tahun lalu.
“Sejujrnya terlalu banyak untuk dikongsi tetapi masa yang tepat belum tiba atau semua ini hanya antara saya dengan Allah,” kata adik kepada penyanyi Aliff Aziz itu.
Terdahulu, Aisyah yang merupakan artis kelahiran Singapura itu mula mencuri perhatian ramai sekitar bulan lalu apabila kerap tampil bertudung dalam beberapa undangan persembahan.
Perkara itu membuatkan ramai memuji dan berdoa agar dia kekal dengan imej yang lebih sopan sebegitu berbanding penampilannya sebelum ini. – HIBGLAM