Siapa artis lembut di luar, kaki pukul di rumah?

TULAR dalam aplikasi X apabila seorang individu yang mendakwa sebagai ‘anak artis’ mendedahkan sikap sebenar bapanya, yang juga merupakan seorang selebriti sebagai seorang yang panas baran dan kaki pukul.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam aplikasi X, individu itu mendedahkan bahawa, perwatakan bapanya yang dianggap peminat seorang yang baik, kelakar dan lembut, sebenarnya sangat berbeza ketika berada di rumah.

“Aku nak cerita sisi gelap keluarga aku. Aku anak artis. Dari kecil semua kenal dan tahu akua nak siapa. Ramai rasa perkara itu sebagai satu kelebihan. Adakalanya betul.

“Tapi anda semua tidak pernah terfikir bahawa dia seorang kaki pukul. Di luar atau di depan peminat, semua cakap dia baik. Di rumah? Hanya keluarga sahaja tahu baran dia macam mana,” luah individu terbabit.

Katanya lagi, disebabkan perkara tersebut, dia teringin untuk mendedahkan perangai sebenar bapanya kepada pengetahuan umum.

Bagaimanapun, individu terbabit yakin bahawa orang ramai pasti tidak akan percaya dengan pembawakan watak bapanya yang juga merupakan seorang personaliti televisyen itu ketika berada di luar.

“Kadang-kadang aku terfikir nak sangat semua orang tahu perangai dia (bapanya) yang sebenar. Tapi siapa nak percaya kalau dia dekat luar bila dia bawa watak ‘personaliti TV’ dia tu,” luahnya.

Dalam hantaran berbeza, individu terbabit turut meluahkan beban yang perlu dilalui oleh keluarganya, gara-gara sikap bapanya, termasuk rasa takut disebabkan sikap panas baran artis tersebut.

“Banyak lagi benda yang kami sekeluarga lalui. Perasaan takut tidak pernah jauh dari kehidupan seharian kami dengan sikap baran dia.

“Buatkan aku tidak mahu kahwin seumur hidup,” katanya.

Sikap panas baran bapanya itu juga menyebabkan dirinya mengalami tekanan mental sejak kecil. Lebih malang lagi apabila dia tidak dapat berkongsi tentang apa yang dialaminta itu disebabkan oleh status bapanya sebagai seorang artis.

“Mental aku diseksa dari kecil. Sakit. Lagi sakit sebab tidak boleh nak kongsi dengan orang luar. Sebab dia artis yang ‘baik’. Semua lakonan semata-mata.

Menjengah dalam ruangan balas, rata-rata pengguna X mula berteka-teki tentang artis yang dimaksudkan itu, selain menasihati individu tersebut supaya melaporkan kepada pihak berwajib berhubung tingkah laku bapanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok