MINGGU lalu, 12 finalis Anugerah Juara lagu ke-38 (AJL38) diumumkan.
Ada dalam kalangan peminat yang sudah membuat tilikan masing-masing, namun mengenepikan fakta terbesar bahawa AJL adalah sebuah pertandingan lagu terbaik, bukan untuk penyanyi semata-mata. Ataupun, lagu mana paling popular.
Sebagai pemerhati dan individu yang cakna dengan kemaraan dunia seni muzik tanah air, tiada apa yang diharapkan selain melihat industri kita maju ke hadapan waima dengan kewujudan acara berlandaskan ukuran terbaik terlalu minimal.
Sementelah negara jiran seperti Indonesia masih tekun menganjurkan Anugerah Musik Indonesia (AMI) saban tahun, kita masih terkapai-kapai dengan penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) yang kadangkala lompong. AJL adalah penganjuran konsisten disinonimkan sebagai Grammy Awards buat pelaku muzik tempatan.
Masih jauh berbaki sekitar tiga bulan sebelum juara keseluruhan AJL38 dinobatkan, namun Gala minggu ini sengaja merangkumkan prediksi editor’s pick karya berpeluang besar menyerlah di pentas berprestij itu.
- Sutera (Aisha Retno, MFMF)
Antara lagu yang diramal bakal mencipta magis pada AJL38 adalah Sutera dendangan singer-songwriter berbakat besar, Aisha Retno.
Bernuansakan EDM dan Sinden (orkestra gamelan), ini adalah karya yang sekiranya dipersembahkan dengan sempurna pada malam kejadian, memang akan tapau habis!
Dengan styling listrik vokal Aisha yang disuntik unsur budaya Jawa serta tulisan lirik berkonotasi pemerkasaan, tidak mustahil AJL38 menjadi turning point bukan hanya buat Aisha tetapi industri muzik tempatan.
- Hasrat (Amir Jahari)
Berada di posisi teratas pilihan penulis adalah lagu Hasrat nyanyian dan ciptaan penuh penyanyi underrated luar biasa, Amir Jahari.
Lama bakat muziknya dipandang sebelah mata dari kacamata arus perdana, akhirnya, Amir berjaya meloloskan diri ke pentas paling berprestij negara.
Tiada masalah andai lagu ini diangkat sebagai juara keseluruhan AJL edisi tahun hadapan. Ini adalah antara karya yang sekiranya diberi pengamatan, memang akan memberi, menerima dan menyuntik rasa.
Melodi yang cocok dan mengalir bebas umpama ditiup angin penuh semula jadi bersama tulisan lirik, Hasrat andai ditabal sebagai juara, senario tersebut akan memberi vibe pemenang seperti lagu Aizat Amdan (Pergi) diumumkan sebagai juara keseluruhan edisi ke-24.
- Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
Lagu ini adalah fan-favourite. Menyentuh soal kualiti, Jangan Mati Rasa Itu adalah karya yang tidak kurang utuhnya ditabalkan sebagai antara calon juara AJL38.
Penulis bukanlah peminat tegar Aina Abdul, namun tidak boleh disangkal dia merupakan antara vokalis wanita terhebat negara zaman sekarang. Bahkan, dari segi bakat komposisi muziknya juga luar biasa.
Sejujurnya, antara banyak lagu Aina yang pernah lolos seperti Sumpah, Sepi dan Terus Hidup, Jangan Mati Rasa Itu adalah pilihan penulis yang paling berkualiti. Note pertama lagu itu sudah begitu menyerlah, chef’s kiss!
- Santai (Ezra Kong, Faizal Tahir)
Sejujurnya, sangat tidak seronok apabila penyanyi asal tidak tampil mendendangkan lagu sendiri di pentas AJL.
Bagaimanapun, seperti apa dinyatakan di perenggan terdahulu, AJL bukan acara untuk penyanyi semata-mata, komposer adalah most valuable player (MVP) yang sepatutnya dicanang.
Santai ciptaan Ezra Kong dan Faizal Tahir adalah barangkali lagu yang paling overplayed atau terlalu banyak kali dimainkan sama ada di platform digital mahupun corong radio untuk tahun 2023.
Kendatipun, itu tidak merobek realiti atau kenyataan bahawa lagu tersebut terkandung kualiti luar biasa untuk diangkat sebagai pemenang utama. Naqiu semestinya akan memberikan keadilan buat lagu Santai pada malam finale nanti.
Zaman sekarang, bukan selalu melihat sesebuah karya dijadikan wahana kritikan sosial. Santai adalah antara lagu bermutu yang dimuatkan elemen terbabit. Kalau kena gaya dan cara, boleh menang AJL38.
- Inilah JalanNya (Noh Salleh) / Bintang (Hael Husaini)
Melengkapkan pilihan Top 5 penulis adalah tie atau kedudukan seri antara dua lagu iaitu Inilah JalanNya ciptaan Noh Salleh dan Bintang (Hael Husaini).
Penulis sememangnya mempunyai soft spot buat lagu yang mengambil unsur old school. Mungkin kedengaran kontroversi tetapi kalau lagu ciptaan Noh Salleh itu menang pun pada malam kejadian, bukan satu masalah.
Bintang pula adalah tribute buat mereka yang telah ‘gugur’. Kalau dengar ada vibe Legenda ciptaan Fauzi Marzuki dan Habsah Hassan (nyanyian Sheila Majid). Kalau Legenda tidak diberi keadilan di pentas AJL, Bintang ada peluang itu.