Yazmin Aziz menang anugerah Pencapaian Vokal Cemerlang

PENYANYI Yazmin Aziz terharu apabila menerima anugerah Pencapaian Vokal Cemerlang bersempena Anugerah Perniagaan Usahawan Wanita Kehormat Shanghai 2023 di China, Baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Yazmin, 22, dalam Instagram miliknya, penyanyi kacukan Melayu-Filipina itu berkongsi rasa gembiranya apabila menerima penghargaan tersebut yang disifatkan sebagai satu kejayaan besar dalam karier nyanyiannya.

Kerja keras saya akhirnya dipandang. Saya sangat bersyukur apabila menerima anugerah Pencapaian Vokal Cemerlang oleh acara berprestij, Anugerah Perniagaan Usahawan Wanita Kehormat Shanghai 2023,” tulisnya.

Dalam hantaran tersebut, pemilik nama lengkap Yazmin Aldwin Aziz itu turut berkongsi momen indah yang diraihnya sewaktu menerima anugerah tersebut sewaktu acara yang berlangsung di China itu.

Anggun mengenakan dres labuh berona putih keemasan, Yazmin turut dilihat menghiburkan penonton dalam acara tersebut dengan sebuah persembahan nyanyian sekali gus mempamerkan kekuatan vokalnya yang memukau.

Dalam ruangan komen, ramai rakan-rakan artis dan juga peminatnya turut tidak ketinggalan memberikan ucapan tahniah dan berkongsi rasa gembira dengan penghargaan yang diraihnya.

Tahniah sayang!” ujar pelakon Shaza Bae.

“Cantik! Tahniah baby girl,” ucap penyanyi Shalma Aina.

Wow! Tahniah kesayangan,” ujar seorang peminatnya.

Sejak memulakan karier muzik pada sekitar tahun 2017, pelantun lagu Lihatlah itu meraih pelbagai kemenangan antaranya memenangi pingat perak di Kejohanan Seni Persembahan Dunia Maya 2020.

Selain itu, dia juga pernah memenangi Anugerah Industri Dalam Persembahan Vokal di Kejohanan Seni Persembahan Dunia 2017 di Long Beach, California, Amerika Syarikat, Kejohanan Dunia Karaoke 2019 di Tokyo, Jepun, Global Pinoy Idol dan tempat ketiga Bakat Ohsem Malaysia.

Yazmin yang juga finalis program Big Stage musim keempat juga pernah membuat persembahan di Minggu Fesyen Monte-Carlo pada tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok