Bagi saya peluang kedua betulkan khilaf- Zara Zya

RASA ralat dan menyesal sebab tak fikir panjang.”

Demikian luahan hati pelakon Zara Zya selepas dikecam gara-gara melakukan adegan dipeluk lelaki dalam video teaser sebuah drama.

Zara, 38,  memohon maaf atas apa yang terjadi dan berjanji akan lebih menjaga batas sebagai seorang muslimah bertudung pada masa akan datang.

“Sepatutnya benda seperti itu tidak berlaku sekali gus tidak timbul isu sebegini.

Saya sedar khilaf saya kerana melakukan sesuatu yang tidak manis dengan imej saya.

“Sebagai manusia yang banyak khilaf, saya terlepas pandang hal tidak sepatutnya. Dunia lakonan ini luas kalau saya terangkan, benda akan jadi panjang,” katanya kepada HibGlam semalam.

Pemilik nama lengkap Zainurul Razia itu turut mengakui babak tersebut bukan dibuat untuk mencetuskan polemik selain berharap peminat dapat memaafkan kesalahannya.

“Saya tidak tahu babak itu akan mengakibatkan perdebatan dalam kalangan penonton. Saya bukan selebriti yang mahu kontroversi.

Semestinya sedih tetapi nak buat macam mana, mereka yang hilang hormat kepada saya pun manusia biasa juga tetapi jangan terlalu ikut perasaan. Bagi saya peluang kedua untuk betulkan khilaf.

“Saya berterima kasih kepada sesiapa yang menegur dan yang kecam tidak mengapa harap dapat terima dengan hati terbuka,” ujarnya yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur.

Ditanya sekiranya mahu berubah selepas ini, Zara berkata, dia akan berusaha mengelak perkara yang boleh mencemarkan statusnya sebagai wanita berhijab.

“Namun, saya tidak boleh janji untuk ubah. Risau kalau tidak buat perkara ini mungkin akan cetuskan salah lain.

“Setiap hari akan ada buat salah, mungkin sedar atau tidak. Kalau orang tidak tegur saya tidak tahu, tetapi apabila tegur saya mula sedar,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, pelakon drama Risik Pada Hati itu mengakui gusar memikirkan pandangan penonton terhadap drama lakonannya bersama Syarul Ezani Mohammed Ezzuddeen.

Ini pertama kali saya risau apabila drama bakal ditayangkan kerana memikirkan penerimaan orang terhadap watak dan naskhah tersebut.

“Orang bijak akan nilai watak dengan kehidupan kita. Apa kesalahan saya, saya terima dan minta maaf.

Saya tidak boleh tutup mulut tempayan dan juga enggan menegakkan benang yang basah,” jelasnya.

Sebelum ini, tular video teaser sebuah drama menunjukkan babak Zara dipeluk oleh Syarul Ezani.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan adegan terbabit memandangkan penampilan Zara yang sudah berhijab. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok