PELAKON Roy Azman mendedahkan masih trauma dengan insiden kereta dinaiki bersama isteri dan anak bongsu terbakar pada Ahad lalu sehingga demam.
Roy atau nama sebenarnya, Zairosminan Abdul Rahman, 53, mengakui risau memikirkan keselamatan dua insan tersayang antara punca dirinya terus dibayangi kejadian terbabit.
Saya demam terbayang-bayangkan situasi isteri serta anak bongsu yang baharu berusia lima tahun. Tak dapat digambarkan kalau ada apa-apa berlaku kepada mereka.
“Syukur, waktu genting itu kami dapat keluar menyelamatkan diri selepas kereta diberhentikan walaupun ada masalah brek.
“Banyak sangat Allah permudahkan bermula dengan amaran hon pemandu kereta lain sehingga urusan membuat laporan polis. Paling penting keluarga saya selamat,” katanya ketika dihubungi HibGlam
Dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Putra Mahkota pada pukul 12.05 tengah malam Ahad lalu itu, kereta jenis Peugeot GCZ milik Roy rentung.
Begitupun, Roy yang dalam perjalanan dari Puncak Alam untuk pulang ke kediamannya di Bandar Seri Putra berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kereta itu baru diambil dari bengkel di Ampang pada petang hari sama selepas siap ‘overhaul’, kemudian kami keluar makan dengan kawan-kawan di Puncak Alam.
“Kalau boleh tak mahu nak ingat lagi, cuma saya nak berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami anak-beranak,” katanya.
Terdahulu, pelakon yang dikenali menerusi filem Sembilu itu memuat naik video dan gambar keretanya sedang terbakar dalam Instagram serta Facebook yang mencetuskan pelbagai reaksi.
Dalam perkongsian seterusnya, Roy turut mendedahkan kejadian terbabit adalah pengalaman paling ngeri yang pernah dilalui. – HIBGLAM