HAMPIR mustahil jika ada pencinta dunia hiburan tidak mengenali figura cantik bernama Nora Danish.
Kemasyhuran dan kestabilan kehidupan yang diraih sepanjang bergelar anak seni bukan lagi satu perjudian.
Waktu bergulir, agak lama sebenarnya kelibat pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif itu tidak muncul mewarnai segmen lakonan naskhah televisyen atau pawagam.
Bukan kerana mulai sendu, sebaliknya wanita kacukan Arab dan Myanmar itu sendiri memilih untuk memperlahankan rentak karier dek kekangan masa dan komitmen buat keluarga.
Keluarga paling utama
Belum meletakkan noktah terhadap kerjaya lakonan, aktres berusia 41 tahun itu mengakui masih dihujani tawaran, namun banyak faktor yang perlu difikirkan.
Masa bersama keluarga berada di hadapan, sehingga akhirnya dia terpaksa menolak banyak tawaran secara baik.
“Bukan memilih tetapi saya banyak komitmen lain, bimbang saya tidak boleh beri 100 peratus kerjasama sebab fokus utama adalah keluarga, tidak mahu nanti menyusahkan produksi.
“Saya dapat banyak tawaran tetapi kena pertimbangkan banyak benda seperti lokasi dan masa. Jadi agak terikat dari segi pemilihan naskhah yang ditawarkan.
“Dalam keadaan ini, masa saya banyak habis dengan keluarga. Orang kata biar kita lihat anak membesar depan mata tapi memang saya akui, saya kini tidak begitu aktif,” ujarnya.
Meskipun kelibatnya jarang dilihat dalam arus perdana, jadual ibu kepada dua orang anak itu tetap padat dengan tugasan belakang tabir serta platform dalam talian seperti menjadi duta untuk kempen dan iklan.
“Saya aktif belakang tabir seperti menjadi duta kepada platform e-dagang dan untuk kerja itu sahaja, saya selalu pergi Bangkok untuk penggambaran iklan dan kempen platform tersebut.
“Kebanyakannya saya buat kerja-kerja begitu, maksudnya tidak mengganggu banyak masa saya dengan keluarga, kalau berlakon pasti semua sudah maklum, durasinya sangat panjang.
“Tetapi mahu kata saya sengaja perlahankan karier sebab sudah tidak mahu berlakon itu tidak benar.
“Lakonan sentiasa dekat dengan jiwa saya bahkan boleh dikatakan sudah serasi dan sebati,” ujar Nora.
Pendatang baharu
Bergelar senior dalam kalangan ramai pelakon baharu tidak sedikit pun membuatkan Nora berasa perlu mendabik dada hingga enggan bergaul.
Dia sebaliknya terbuka untuk berlakon dengan sesiapa sahaja.
Kata pelakon yang sinonim dengan drama Puteri itu, tidak dinafikan ramai pendatang baharu memiliki bakat lakonan luar biasa selain tidak bergantung harap pada rupa paras.
“Saya tak pernah terfikir untuk sombong dengan pelakon baharu malah sangat terbuka untuk berlakon mahupun bekerjasama dengan bakat-bakat muda.
“Ada beberapa kali saya berlakon dengan pelakon baharu contohnya Meerqeen dalam telefilem Kluster.
“Di mata saya, kalau tak menang pertandingan Hero Remaja pun, saya percaya Meerqeen boleh naik.
“Dia seorang yang sangat hormat orang dan boleh bergaul dengan siapapun. Pendek kata pandai bawa diri,” katanya.
Begitupun, wanita kecil molek itu sempat menitipkan pesan kepada pelakon baharu agar sentiasa membumi meskipun karier semakin melangit supaya perjalanan karier dipermudahkan dan disenangi ramai pihak.