[VIDEO] Saya tiada kaitan dengan video itu – Tony Eusoff

“SIAPA percaya memang tertipu. Saya tidak buat benda-benda begini.”

Demikian reaksi pelakon Tony Eusoff sekali gus menafikan dakwaan mempunyai kaitan dengan sebuah video tidak senonoh yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Enggan menghiraukan tuduhan liar berkenaan, pelakon filem Sumpahan Jerunei itu berkata, banyak lagi perkara lebih penting yang harus diberikan tumpuan.

“Bagi saya, perkara ini hanya mahu diabaikan kerana tidak membawa manfaat.

“Orang yang sebarkan itu memang tidak bertanggungjawab, kalau nak cari orang bersalah adalah individu yang sebarkan video terbabit.

“Saya tidak buat benda-benda begini. Ketika dunia banyak malapetaka berlaku seperti Palestin ramai lagi orang susah jadi saya tidak mahu fokus perkara ini,” katanya kepada HibGlam semalam.

Pemilik nama lengkap Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 46, itu juga maklum dengan video tular berkenaan.

Dia bagaimanapun lega apabila kenalan terdekat lebih mempercayai dirinya.

“Ada kawan hantar video tersebut dan saya sudah tengok. Rakan rapat juga mempertahankan saya.

“Mereka kata itu palsu. Malah, bekas kekasih saya turut mengatakan benda yang sama,” ujarnya lagi ketika ditemui di sidang media Viu Upfront, semalam.

Bagaimanapun, anak jati Sarawak itu enggan memperbesarkan isu dengan tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Tiada guna untuk ambil tindakan. Buat apa orang kongsikan perkara tidak bagus.

“Benda ini (kontroversi) banyak berlaku sebelum ini dan tidak elok. Kalau boleh saya memang tidak mahu fokus perkara negatif,” tegasnya.

Ditanya mengenai impak terhadap dirinya, Tony yakin tidak akan mengganggu karier lakonan disebabkan komited terhadap kerjayanya.

“Buat masa ini tidak rasa jejaskan diri. Saya percaya apa yang dilakukan saya buat dengan sepenuh hati dan jiwa.

“Tanyalah mana-mana produksi yang pernah bekerja, saya akan bagi sokongan 100 peratus dan saya jamin mereka bersetuju. Itu yang saya janjikan,” katanya.

Sebelum ini, dalam aplikasi X tular sebuah video tidak senonoh kononnya seorang selebriti sedang melakukan onani di atas katil.

Ramai orang mendakwa dan menyebut nama Tony sebagai individu yang berada dalam video tersebut. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok