“SAYA akan culik anak awak kalau awak masih ‘claim’ tentang budaya Indonesia.”
Itu ugutan daripada individu tidak dikenali yang didedahkan pelakon Nabila Huda dalam platform X.
Pelaku terbabit menuduhnya mencuri budaya negara jiran sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya, Keisha Laila.
“Nabila Huda adalah ‘claimer’ nombor satu, pencuri budaya Indonesia!” antara kenyataan lain yang dilayangkan kepada bekas pengacara Melodi itu.
Bagaimanapun, akaun individu terbabit tidak dapat diakses selepas ditetapkan dalam mod privasi.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 39, yang meminta pandangan ramai disarankan supaya
membuat laporan polis.
Enggan mendiamkan diri kerana risau dengan keselamatan keluarga, Nabila turut mengulang ciap entri tersebut.
“Boleh sesiapa tolong balas. Oh, dia dah ‘private’ akaun eh?,” ciap Nabila.
Difahamkan tuduhan mencuri budaya Indonesia itu bersandarkan perkongsian aktres tersebut dalam laman sosial yang menggayakan 30 persalinan kebaya lengkap berkain batik lepas dan bersanggul ketika menjalani penggambaran sebuah program di New York, Amerika Syarikat, Julai lalu.
Pada masa sama, dalam ruangan komen rata-rata netizen mengecam kedangkalan individu terbabit yang disifatkan buta sejarah.
“Dah buat laporan polis? Dah ugut nak culik anak ini bukan main-main walaupun dia jauh di sana. Hal anak jangan main-main.
“Bab budaya ini aku dah malas ajar, mereka tak pernah belajar. Kena angkut bawa ke Malaysia baru mereka faham. Apa nak hairan, Nusantara pun diorang ‘claim’
“Ini yang susah bila rakyat Indonesia buta sejarah sedangkan asimilasi budaya terjadi di negara Nusantara,” antara komen netizen. – HIBGLAM