‘Doa untuk Gaza walau tak turun perang’

ISU kemanusiaan sejagat menggerakkan jiwa nurani aktres Nur Fazura untuk bangkit menyalurkan pandangan dengan satu harapan agar keganasan lenyap terus dari muka bumi.

Konflik berdarah di Gaza, Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis membuatkannya menggunakan laman sosial sebagai platform menyalurkan sokongan terhadap mereka yang tertindas.

Tidak hairan, semangat ditunjukkan bintang filem Gol & Gincu itu secara tidak langsung mengajak peminatnya menunjukkan solidariti, sekali gus membantu saudara seagama yang teraniaya biarpun hanya menerusi gelanggang maya.

Kita mungkin tidak mampu turut berperang atau sekuat mereka, namun kita boleh membantu dengan suntik semangat.

“Suara kita serta ramai lagi masyarakat dunia yang prihatin terhadap isu global dihadapi rakyat Palestin ini setidak-tidaknya menunjukkan amaran serta amarah kita terhadap Zionis dan Israel.

Pada masa sama, kita teruskan doa supaya penduduk Gaza terutama wanita dan kanak-kanak dilindungi Allah,” katanya sedikit beremosi memulakan bicara.

Turut menyokong jihad kecil menerusi usaha memboikot produk berkaitan Israel, Fazura, 40, menyeru supaya masyarakat kental melaksanakan kempen berkenaan bagi menunjukkan bantahan terhadap kekejaman Zionis.

Banyak barangan dari luar yang punya kaitan dengan Israel boleh kita tukar kepada produk tempatan atau lain kerana ada kesannya kepada ekonomi mereka.

“Ramai berpendapat boikot tak berkesan, hakikatnya semua itu sudah menampakkan kesan apabila dilakukan serata negara dan akhirnya, memberi impak terhadap saham jenama popular serta menjejaskan operasi perniagaan Zionis.

Biar mereka dengar suara dan tahu tindakan kita yang akan terus berjihad demi rakyat Palestin,” katanya dengan nada penuh semangat.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok