Sharif, Syaiful juara mingguan FD3 kali ketiga

PASANGAN duo adik-beradik Sharif dan Syaiful diumumkan sebagai juara minggu keenam Famili Duo musim tiga (FD3), sekali gus mencipta hatrik apabila memenangi gelaran itu buat kali ketiga.

Mereka mempamerkan persembahan yang disifatkan juri di luar kotak ketika membawakan lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee selain Di Renjis-Renjis (R. Ismail).

“Kecacatan itu sebenarnya langsung kami tidak nampak kerana kamu berdua memberikan persembahan yang terbaik,” kata juri Mas Idayu.

Meraih markah penuh ‘perfect 10’ daripada kedua-dua juri, kemunculan pelakon tambahan yang seiras penyanyi Zamani turut menyerlahkan momentum persembahan.

Walaupun berdepan persaingan sengit tiga pasangan duo lain yang turut mendapat markah penuh juri, Sharif dan Syaiful nyata meraih undian tertinggi peminat.

Sebelum ini mereka mengungguli persembahan bagi minggu pertama serta konsert minggu kelima.

Sebagai juara mingguan bagi persembahan bertemakan Retro 60an dan 70an, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Pasangan duo itu menduduki tempat pertama dengan markah berjumlah 71.3 peratus, meninggalkan jauh lima lagi peserta lain.

Selaku juara, mereka juga diberi kelebihan untuk memilih tema bagi konsert ketujuh minggu depan yang juga separuh akhir.

Bagi peringat separuh akhir FD3 minggu depan yang juga menyaksikan penyingkiran peserta buat kali pertama, kedua-dua pelawak terbabit sepakat mengangkat tema Hip Hop/Dance.

Edisi kali ini turut membariskan pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran, selain suami isteri iaitu Tom dan Fuad Rahman; manakala duo adik beradik lain adalah Ryan Bakery dan Adam serta Shila Amzah bersama adiknya, Syahir.

Program lapan episod itu memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian di Tonton membabitkan 30 peratus.

Pada malam kemuncak yang dijadualkan berlangsung pada 3 Disember depan, FD3 menawarkan hadiah utama mencecah RM100,000 untuk juara FD3.– HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok