‘Beto okey, sudah keluar hospital’

PELAKON Zahiril Adzim bersyukur apabila rakan baiknya yang juga aktor, Beto Kusyairy berada dalam baik selepas terbabit dalam kemalangan ketika konvoi di Ipoh, Perak kelmarin.

Menurut Zahiril atau nama penuhnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 39, Beto juga sudah keluar dari hospital semalam.

“Dia sekarang okey dan kami pun sudah berbual tadi (semalam).

Beto juga sudah melakukan pemeriksaan X-ray dan semuanya dalam keadaan baik.

“Cuma sama-samalah kita berdoa untuk seorang lagi mangsa yang perlu menjalani pembedahan,” katanya kepada HibGlam selepas tayangan gala filem Budak Flat di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zahiril yang popular menerusi filem Juvana mendedahkan dia juga sepatutnya menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana terikat dengan jadual penggambaran.

“Sepatutnya saya bersama mereka sebab Beto ada ajak tetapi tidak dapat sertai kerana penggambaran.

“Kalau boleh memang nak sertai aktiviti berkaitan Palestin sebegitu,” ujarnya.

Ditanya sama ada mengetahui punca kemalangan, dia menegaskan pihak konvoi tidak berkongsi terlalu banyak kerana bukan dirinya yang berada di tempat kejadian.

“Tak silap saya mereka bertembung dengan sekumpulan konvoi lain.

“Saya pun tidak boleh cerita secara terperinci sebab tiada di lokasi kejadian,” kongsinya ringkas.

Sementara itu, seorang lagi pelakon yang juga sahabat baik Beto, Azhan Rani memberitahu Beto sudah pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital sejak Ahad lalu.

“Alhamdulillah Beto tidak apa-apa, sudah pulang ke rumah.

“Cuma saya tidak tahu sangat mengenai kemalangan. Beto ada maklumkan bahawa Datuk Awie akan membuat satu kenyataan mengenai kejadian tersebut,” kongsinya.

Kelmarin, Beto yang menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh dilaporkan terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

Konvoi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok