ANAK kepada pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin terus mencipta nama dalam arena olahraga apabila berjaya memecahkan rekod acara 110 meter (m) lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026.
Bukan itu sahaja, Rayyan,17, yang mewakili kontinjen Selangor turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih tempat kedua dalam acara 100m dan ketiga bagi acara 200m, sekali gus melengkapkan pencapaian membanggakan pada kejohanan berprestij yang menghimpunkan atlet-atlet terbaik MRSM dari seluruh negara.
Rita Rudaini, berkata kejayaan diraih anak sulungnya itu merupakan hasil usaha, disiplin dan pengorbanan yang tidak pernah putus sepanjang menjalani latihan.
Rita meluahkan rasa bangga melihat kesungguhan Rayyan yang sentiasa komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap pertandingan.
“Saya sangat bersyukur dan bangga dengan pencapaian Rayyan. Apa yang dikecapinya hari ini adalah hasil kerja keras serta komitmennya sendiri.
“Terima kasih kepada semua jurulatih, guru, pihak MRSM, rakan-rakan sepasukan dan semua yang sentiasa memberi tunjuk ajar, doa serta sokongan sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Rita juga berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat buat puteranya itu untuk terus berusaha mengembangkan bakat dalam sukan olahraga, di samping menjadi inspirasi kepada remaja lain agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian masing-masing. – HIBGLAM
