PELAKON Hisyam Hamid pilih pendekataan menutup rapat kisah peribadi lebih-lebih lagi membabitkan urusan keluarga.
Semua itu bagi menghalau jauh kisah-kisah sensasi atau kontroversi yang barangkali akan merosakkan jiwa ahli keluarga, terutama anak-anak.
Lumrah menjadi orang popular, apa sahaja perkembangan peribadi mudah menarik perhatian ramai.
Kisah dalam kain selalu mengusik naluri ingin tahu masyarakat.
Semakin bersinar bintangnya di langit seni, semakin menggoda urusan hati mereka mahu diselami.
Menyaksikan situasi apa sahaja perkembangan diri mahupun insan rapat di sisi dimanipulasikan menjadi sensasi, dramati tampan si Hisyam Hamid seboleh-bolehnya mahu menjaga diri daripada membuka pekung demi memuaskan kehendak khalayak.
Katanya, banyak hati yang perlu dijaga termasuk permata hati yang sering mengikuti perkembangan bapanya dalam industri.
“Pernah saya keluarkan kenyataan lebih rela tiada berita berkenaan saya daripada mencetuskan sesuatu negatif.
“Perkara tersebut bukan sahaja memberi kesan terhadap saya, tetapi anak-anak yang sedang membesar.
“Apa yang penting adalah menjaga mereka walaupun secara keseluruhan orang bercakap mengenai saya,” katanya membuka bicara.
MENERUSI That Cover Girl, Hisham bergandingan dengan pelakon hebat lain seperti Siti Saleha, Aiman Hakim Redza dan Alicia Amin.Kehidupan rumah tangga mereka hanya kelihatan bahagia dalam media sosial memandangkan Sofi merupakan seorang ahli perniagaan tudung terkenal.
Ditebak mengenai persamaan dengan watak itu, Hisyam akui sememangnya peminat dahagakan isu peribadi lebih-lebih lagi soal keluarga.
“Ada orang memang jadikan hubungan romantik sebagai kandungan dalam media sosial. Sejujurnya peminat dan pengikut saya lebih suka tengok urusan peribadi saya tanpa mahu mengetahui soal lakonan.
“Baru-baru ini saya buat kandungan masak-masak bersama anak dan video tersebut paling banyak jumlah tontonan.
“Mereka mahu melihat sesuatu yang tidak biasa dilihat dalam televisyen,” jelasnya tentang naskhah siaran siaran penstriman over the top (OTT), Prime Video Malaysia tersebut.
Aktor berusia 38 itu bagaimanapun mengakui kurang aktif dalam media sosial. Atas sebab itu juga dia kurang gemar secara terbuka bercerita soal peribadi dan hanya ingin fokus terhadap karier.
“Apabila saya sedih, kecewa atau marah saya akan menjauhi media sosial.
“Saya pula seorang yang introvert dan tidak suka kongsikan banyak benda terutamanya mengenai hal peribadi.
“Namun, tidak dinafikan media sosial sangat penting kerana menjadi sebahagian daripada kerja dan membantu saya kekal relevan dalam industri,” tuturnya.
Populariti vs relevan
Aktor asal Singapura itu turut berkongsi pendapat mengenai populariti yang mampu mengangkat nama artis.
Bagaimanapun, dia percaya soal kerelevanan seseorang selebriti dalam industri hiburan.
“Bagi saya, populariti akan datang sekali dengan apa yang kita buat. Kalau drama meletup, maka nama kita akan disebut-sebut.
“Tanpa drama atau nashkah hebat, populariti kita automatik akan turun.
“Cuma, untuk mengekalkan kerelevanan itu yang menjadi satu cabaran,” katanya.
Impak menitikberatkan profesiolisme, Hisyam bersyukur masih mendapat tawaran berlakon walaupun harus bersaing dengan orang baharu.
“Selama 10 tahun dalam industri, saya masih diberikan tawaran berlakon. Itu yang penting.
“Paling penting bakat, profesionalisme dan disiplin, barulah kita relevan dalam industri. Media sosial takkan membuatkan kita relevan walaupun platform tersebut memang satu keperluan,” tutupnya.