Tembak mati isteri, peserta American Idol dipenjara seumur hidup

BEKAS peserta program realiti American Idol, Caleb Flynn dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang pembebasan selepas didapati bersalah membunuh isterinya, Ashley Flynn pada Februari lalu.

Flynn, 40, juga bekas pastor muzik itu sebelum ini cuba meyakinkan mahkamah bahawa isterinya ditembak ketika sedang tidur selepas seorang penceroboh memecah masuk kediaman mereka di Tipp City, Ohio.

Namun, alasan tersebut ditolak juri selepas perbicaraan selama lapan hari sebelum bapa kepada dua anak itu didapati bersalah atas pertuduhan membunuh serta lapan pertuduhan tambahan termasuk pembunuhan terancang dan mengganggu bukti pada keputusan kes kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih memilukan, anak perempuan pasangan itu tampil menyampaikan surat kepada bapa mereka ketika prosiding hukuman, meminta Flynn mengakui perbuatannya selain mempersoalkan alasannya sanggup membunuh ibu mereka.

Salah seorang anak mereka turut menyifatkan Ashley, 37, sebagai ibu yang sempurna sebelum meluahkan kekecewaan terhadap tindakan bapanya.

“Ibu adalah insan sempurna. Kemudian ayah memilih untuk membunuh satu-satunya ibu yang saya ada,” katanya menerusi surat tersebut.

Anak itu turut menegaskan dia masih berpegang kepada kepercayaan kepada Tuhan, namun nekad enggan mengunjungi bapanya di penjara.

Flynn dilaporkan menangis teresak-esak ketika surat kedua-dua anaknya dibacakan di hadapan mahkamah

Begitupun, lelaki terbabit tetap menafikan perbuatannya ketika diberi peluang membuat kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan, malah memohon maaf atas keputusan dibuat tanpa menjelaskan secara terperinci hal dimaksudkan.

“Saya pernah berjanji kepada Ashley pada hari perkahwinan kami. Saya gagal memenuhi janji itu,” katanya dengan nada sebak.

Begitupun, Hakim Jeannine Pratt menyifatkan Flynn sebagai individu yang mempunyai risiko ekstrem terhadap keselamatan awam sebelum menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan.

Kes tersebut mula terbongkar apabila Flynn mendakwa dia sedang tidur ketika terdengar bunyi tembakan sebelum menemui Ashley sudah tidak bernyawa di atas katil.

Dia turut mendakwa mendapati pintu garaj rumah mereka terbuka, sekali gus cuba meyakinkan pihak berkuasa bahawa kediaman mereka dimasuki orang asing.

Ketika kejadian, anak mereka yang berusia sembilan dan 11 tahun turut berada di dalam rumah dan sedang tidur.

Namun, siasatan pihak berkuasa menemukan pelbagai bukti yang bercanggah dengan cerita Flynn, termasuk rakaman kamera badan polis serta aktiviti pada iPhone dan Apple Watch miliknya sekitar waktu kejadian.

Memburukkan lagi keadaan, pendakwa raya turut mengemukakan mesej antara Flynn dengan bekas kekasihnya, Alleigha Botner yang dikenalinya ketika wanita itu menjalani latihan industri di gerejanya.

Botner mendedahkan mereka bertukar kira-kira 100,000 mesej, termasuk beberapa perbualan yang menunjukkan Flynn pernah memikirkan cara untuk membunuh isterinya tanpa dipenjarakan.

Dalam mesej lain, dia turut menulis bahawa dia hanya mahu isterinya ‘mati dan pergi’.

Pendakwa raya turut memainkan lagu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa dicipta Flynn untuk Botner ketika perbicaraan.

Botner merupakan antara puluhan saksi yang dipanggil bagi memberi keterangan berkaitan hubungan sulit tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok